
Oleh : Subkhi Sudarji
TIADA resepi istimewa diterapkan Terengganu FC untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0, yang seterusnya memadamkan rekod tanpa kalah hampir dua tahun dipegang penyandang juara Liga Super kali ketujuh berturut-turut itu.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, tiada gunanya menang menentang JDT tetapi apabila berdepan dengan pasukan lain keputusan sebaliknya pula diraih.
“Tiada apa resepi istimewa pada malam ini, sama sahaja seperti pasukan lain yang menentang JDT inginkan keputusan positif, sebelum ini kami kurang konsisten dari segi keputusan perlawanan yang menyebabkan pasukan keciciran mata.
“Boleh dikatakan nasib menyebelahi TFC malam ini, kalau kita tengok tuan rumah banyak memiliki peluang, apa pun semangat juang dan karektor dipamerkan pemain TFC malam ini sememangnya sewajarnya diberikan penghargaan,” tegasnya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada masa sama, secara jujurnya Nafuzi tidak pernah langsung mengimpikan gelaran atau status pasukan yang meleburkan rekod tanpa kalah JDT kerana itu hanyalah rekod.
“Tiga mata menjadi keutamaan kerana ini peluang untuk terus merapatkan diri dan bersaing memandangkan jarak dengan pasukan lain begitu rapat.
“Kami pernah berada dibelakang JDT sebelum dirampas Kedah FC, jadi kami perlu menang aksi malam ini untuk kembali menghuni kedudukan di tangga kedua liga.
“Semua pemain ingin memberikan aksi terbaik apabila berdepan dengan JDT termasuklah pemain saya.
“Untuk mencipta ruang menentang JDT bukanlah mudah namun pemain bijak melakukan serangan balas yang seterusnya menghadirkan gol kemenangan buat pasukan,” jelasnya.
Pada aksi malam tadi gol tunggal hasil jarigan Hakimi Abdullah pada minit ke 57 sudah cukup buat pelawat memadamkan rekod tanpa kalah tuan rumah dan pada masa sama terus menghimpit JDT ditangga teratas liga dengan perbezaan dua mata selepas 10 perlawanan berlangsung.





Add Comment