Bola Sepak Semasa Terkini

TFC lebur rekod tanpa kalah JDT

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Hakimi (kanan) meledak gol tunggal memastikan kemenangan pasukan ke atas JDT.

Oleh : Subkhi Sudarji

REKOD tanpa kalah 21 bulan yang dipegang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia akhirnya lebur selepas penyandang juara itu tewas 0-1 kepada Terengganu FC, di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Gol tunggal jaringan Hakimi Abdullah pada minit ke 57 sudah cukup untuk mencalarkan ego tuan rumah yang kini memiliki kelebihan hanya dua mata ditangga teratas liga.

Walaupun mendominasikan perlawanan khususnya pada babak kedua namun kekalutan dibahagian benteng tuan rumah didepan gawang sendiri dimanfaatkan sepenuhnya Hakimi yang bijak melorongkan bola menewaskan Farizal Marlias.

Sebelum ini, skuad bimbingan Nafuzi Zain juga memiliki beberapa peluang melalui David Da Silva namun ketangkasan Farizal menafikan impian pelawat memiliki gol.

Detik 15 minit terakhir menjadi waktu yang paling panjang buat pelawat apabila mereka diasak dari pelbagai sudut namun kekentalan benteng selain ketangkasan penjaga gawang TFC, Mohd Suhaimi Husin memastikan kejutan dilakarkan ke atas tuan rumah dengan tiga mata dibawa pulang ke Kuala Terengganu.

Kemenangan ini juga membolehkan TFC kembali merampas kedudukan ditangga kedua dari Kedah selepas mengumpul 21 mata dibezakan dua mata dengan JDT ditangga teratas liga dan satu mata didepan Kedah yang berada dikedudukan ketiga.

Aksi di Stadium Bandaraya Pulau Pinang juga tidak kurang hebatnya apabila tuan rumah mudah menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 3-0.

Dua gol pada babak pertama dan satu dipenghujung perlawanan yang dijaringkan Endrick Da Santos pada minit ke-11, Danial Ashraf Abdullah (m26) dan Jafri Firdaus (m93) memastikan mereka terus bersaing dalam kelompok empat terbaik.

Sementara itu pada aksi yang berlangsung di Stadium Uitm FC, tuan rumah terus gagal meraih kemenangan apabila jaringan dipenghujung babak kedua pemain Petaling Jaya City FC, M Tamil Maran pada minit ke 82 sudah cukup untuk mereka meraih tiga mata penuh.

Bagi Uitm yang dibimbing Reduan Abdullah pula, kekalahan ini terus meletakkan mereka terperosok ditangga terbawah liga dengan hanya mengumpul satu mata hasil satu seri dan sembilan kekalahan.

Info Rekod Pertemuan JDT-TFC (dalam semua pertandingan)

April 2021 – JDT 0 TFC 1

September 2020 – TFC 0 JDT 1

September 2019 – JDT 4 TFC 1

September 2019 – TFC 0 JDT 1

Julai 2019 – JDT 3 TFC 3

Februari 2019 – TFC 2 JDT 2

Oktober 2018 – JDT 2 TFC 2

Oktober 2018 – TFC 1 JDT 0

Jun 2018 – JDT 2 TFC 0

Mac 2018 – TFC 0 JDT 1

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: