Bola Sepak Semasa Terkini

Sabah FC mudah kuliahkan Uitm FC, Kedah gagal beri tekanan kepada JDT

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Kpah Sherman menjaringkan gol penyamaan memastikan skuad tidak pulang tanpa sebarang mata.

Oleh : Subkhi Sudarji

KEDAH gagal merapatkan diri bersama-sama Terengganu FC untuk terus menghambat Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas sekadar seri 1-1 menentang Perak FC, malam tadi.

Keputusan seri yang diraih di Stadium Perak, Ipoh juga menyebabkan kedudukan tempat kedua yang dihuni anak didik Aidil Shahrin Sahak kini menjadi milik TFC dengan kelebihan satu mata selepas mereka menang ke atas KLUFC, semalam.

Pada aksi yang berlangsung malam tadi, Perak FC terlebih dahulu didepan pada babak kedua hasil jaringan De Paula pada minit ke-57 namun kelebihan itu tidak kekal lama selepas penyerang import pelawat, Kpah Sean Sherman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-78. Kedudukan 1-1 terus kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Saddil terus membuktikan bisanya dengan menjaringkan satu gol membantu kemenangan pasukan ke atas Uitm FC.

Aksi di Stadium Likas pula memastikan impian tiga mata Sabah FC menjadi kenyataan apabila tidak berdepan masalah membenam UiTM FC , 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Gol pertama Sabah FC menjelma pada minit ke-27 hasil penyudah pemain importnya, Sam Johnson sebelum Saddil Ramdani melebarkan kedudukan 2-0 pada minit 40 untuk separuh masa pertama.

Nafsu ledakan gol terus dijelmakan tuan rumah apabila terus mengukuhkan kedudukan menerusi gol ketiga hasil jaringan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu pada minit ke-49 manakala Bobby Gonzales turut mencatatkan nama selaku penjaring keempat buat pasukan pada minit ke-86.

Kemenangan itu membolehkan skuad Badak mengumpul sembilan mata setakat ini selepas memenangi dua perlawanan dan seri dalam tiga perlawanan sebelumnya.

Jordan Mintah menjaringkan gol kemenangan memastikan tiga mata milik tuan rumah.

Bagi saingan Liga Perdana pula, Jordan Mintah terus membuktikan ledakan berbisanya apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan dilewat permainan untuk memastikan kemenangan pasukan 4-3 ke atas JDT II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun pelawat terlebih dahulu menemui gol hasil jaringan Nicolas Fernandez pada minit ke-22 namun Mintah berjaya menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 5 minit dipenghujung babak pertama untuk kedudukan 1-1.

Pelawat yang dibimbing Rafael Sanchez berjaya menambah jaringan pada hujung aksi babak pertama apabila Fernando Rodriguez mudah menolak masuk bola muntah tampanan penjaga gol untuk mendahului 2-1.

Memasuki babak kedua, ketua pasukan tuan rumah, Argzim Redzovic menyamakan kedudukan melalui tandukan pada minit ke-51 namun sekali lagi Rodriguez menjaringkan gol pada minit ke-68.

Semangat melawan kental yang diperagakan pemain tuan rumah membuahkan hasil apabila pemain import kelahiran Jepun, Masaki Watanabe yang mudah menolak masuk gol hasil sepakan sudut Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ke-82 dan ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Mintah bijak menyempurnakan gol kemenangan pasukan pada minit ke 90.

Tiga mata diraih The Turtles ini sekali gus menamatkan badi seri dalam enam perlawanan berturut-turut sebelum ini sekali gus meletakkan pasukan di tangga kelima liga.

Barisan pemain KUFC meraikan kejayaan menewaskan Skuad Projek MSN-FAM.

Satu lagi aksi Liga Premier yang berlangsung malam tadi membabitkan perlawanan Skuad Projek MSN-FAM menentang Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Uitm FC, yang dimenangi pelawat, 3-0.

Gol-gol pelawat dijaringkan Asraf Alifuddin pada minit ke-43 sebelum Hariz Kamaruddin melebarkan jurang untuk gol kedua pada minit 86 dan Gasama memastikan malam gemilang pelawat untuk gol ketiga.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: