Bola Sepak Semasa Terkini

Sri Pahang FC kekalkan kelompok kedua terbawah

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Bergson terus mencipta nama selaku penjaring gol membantu kemenangan pasukan mengatasi Sri Pahang FC, 2-0.

Oleh : Subkhi Sudarji / Izari Rosli (Foto)

SRI Pahang FC terus mengekalkan kedudukan ditangga kedua terbawah apabila tewas 0-2 di tangan peneraju Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kekalahan keenam selepas sembilan perlawanan menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh  hanya mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan enam kekalahan.

Bagi JDT pula tiga mata yang dibawa pulang ke Selatan memastikan mereka terus gah di puncak liga dan melebarkan kelebihan tujuh mata untuk mengumpul 23 mata meninggalkan Kedah yang hanya 16 mata namun berbaki satu perlawanan.

Pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, tidak banyak gerakan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan walaupun pelawat dilihat lebih mendominasi perlawanan khususnya dibahagian tengah.

Tuan rumah berpeluang menguji penjaga gol JDT, Farizal Marlias melalui sepakan deras dalam kotak penalti oleh Muhammad Shahrul namun dinafikan Farizal pada minit ke 19.

Selang empat minit kemudian, pemain import JDT, Leandro Velazquez memastikan gol hadir buat pasukan apabila rembatannya dalam kotak penalti berjaya menewaskan, Muhammad Zarif Irfan untuk meletakkan pasukan dihadapan dan gol berkenaan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sri Pahang FC mula mempamerkan corak permainan berbeza dengan mencipta gerakan melalui Lee Tuck dan Nor Azam hingga menyaksikan pelawat terpaksa bertahan.

Keghairahan memburru gol penyamaan nyata membawa padah buat tuan rumah apabila pertahanannya, Ezanie Mat Salleh dilayangkan kad merah susulan menerima dua kad kuning kerana mengasari pemain lawan pada minit ke 69.

Kekurangan seorang pemain nyata merencatkan usaha Pahang FC memburu gol penyamaan dan ketika perlawanan hampir ditamatkan dengan keputusan 1-0, Bergson sekali lagi mencetak nama selaku penjaring gol kedua buat pasukan untuk kemenangan 2-0 mengatasi tuan rumah.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: