Bola Sepak Terkini

Memimpin liga satu tekanan; Devan


Oleh : Subkhi Sudarji

MENERAJUI takhta liga sememangnya diimpikan setiap pasukan yang bertanding tetapi tanpa pengalaman yang besar dan kredibiliti ia akan memberi tekanan kepada pemain.

Mahu atau tidak itulah situasi semasa yang perlu diterima Negeri Sembilan United FC (NSFC) yang terpaksa akur dengan kekalahan kali pertama selepas tujuh perlawanan berlangsung.

Bukan tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT II), dan Sarawak United yang dianggap pencabar kejuaraan tetapi Kelantan United FC(KUFC) dengan keputusan 2-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Paroi, malam tadi.

Menerima kekalahan dengan hati terbuka, pengendali NSFC, K Devan mengakui peranan selaku peneraju liga ia memberi tekanan kepada pemainnya setiap kali turun beraksi.

“Saya rasa berada diatas satu tekanan, kalau kita tengok permainan kita sebelum ini begitu baik sehinggalah berada dikedudukan teratas liga.  Mana-mana pasukan yang hadir ke sini akan bermain bersungguh-sungguh walaupun sebelum ini mereka tidak beraksi sedemikin rupa.

“Kita kena ada pengalaman untuk mengawal situasi seumpama ini, kita bukan pasukan yang cukup dengan pengalaman, masih muda dan baru 3 bulan dibentuk.

“Pemain sedikit tertekan apabila berada diatas, saya boleh nampak prestasi kita, mereka datang dengan semangat lain macam,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi ke tujuh buat kedua-dua pasukan, skuad Hobin Jang Hobin lebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Zaquan Adha Abd Radzak, tidak sampai seminit perlawanan bermula sebelum pemain import KUFC Alfusainey Gassama menyamakan kedudukan pada minit ke-20.

Seminit sebelum berakhir babak pertama skuad bimbingan K Devan menerima tamparan apabila Saiful Ridzuwan Selamat diperintah keluar padang apabila menerima kad kuning kedua selepas mengasari Muhammad Asraff Aliffuddin Yazin.

NSFC yang beraksi 10 pemain dilihat terus menerima tekanan selepas enam minit babak kedua menerusi tandukan Alfusainey pada minit ke-51 untuk gol pendahuluan pelawat sebelum Alain Thierry Akono kemudian menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tandukan pada minit ke-59.

Bagaimanapun, Muhammad Hariz Kamarudin kemudian meletakkan sekali lagi Kelantan United di depan hasil jaringan pada minit ke-64 dan keputusan 3-2 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kekalahan ini menyebabkan NSFC hanya dibezakan satu mata dengan JDT II yang berada ditangga kedua dan hanya akan turun beraksi malam esok menentang Selangor II di Stadium Larkin.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading