Antarabangsa Badminton Terkini

Jin Wei wakil tunggal negara di suku akhir Orleans Masters


Goh Jin Wei

JUARA remaja dunia 2015 dan 2018, Goh Jin Wei menjadi satu-satunya wakil yang mengibar cabaran negara di suku akhir kejohanan Orleans Masters di Perancis .

Ini selepas dua lagi wakil negara, Cheam June Wei dan pasangan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin gagal melepasi halangan masing-masing di perseorangan lelaki dan beregu campuran dalam aksi malam ini waktu Malaysia.

Seperti diduga, Jin Wei, 21, mudah mengatasi halangannya di pusingan kedua, Aliye Demirbag dari Turki 21-9, 21-16 dalam masa 32 minit.

Namun, kini ujian sebenar menanti Jin Wei, yang ‘berehat’ 21 bulan daripada sebarang pertandingan, apabila naib juara All England, Pornpawee Chochuwong dari Thailand menantinya di suku akhir.

Chochuwong yang juga pilihan utama, mara selepas menundukkan pemain tuan rumah, Ophelia Casier 21-11, 21-5.

Kejohanan berstatus Super 100 ini adalah aksi pertama Jin Wei, yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan membuang usus besarnya pada Oktober 2019, selain ketiadaan pertandingan akibat pandemik Covid 19.

Kali terakhir dia mengambil bahagian adalah di Terbuka Australia pada Jun 2019 sebelum masalah usus yang sudah lama ditanggungnya terus menghantuinya.

Dalam aksi pusingan ketiga perseorangan lelaki, June Wei, juara Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019, tewas 17-21, 20-22 kepada pilihan utama, Srikanth Kidambi dari India.

Tien Ci-Chiew Sien pula tunduk 21-23, 20-22 kepada pasangan England, Max Flynn-Jessica Pugh di pusingan kedua.

Terdahulu, dalam perlawanan awal pagi Khamis waktu Malaysia, naib juara remaja dunia 2015, Lee Ying Ying gagal melepasi pusingan pertama selepas tewas 6-21, 9-21 kepada pemain Amerika Syarikat, Iris Wang.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: