
PANGGILAN latihan pusat skuad kebangsaan kali ini menjadi debut buat Guilherme De Paula yang sudah mendapat kewarganegaraan, awal musim ini.
Perkembangan itu menjadi khabar gembira buat pengendali negara, Tan Cheng Hoe terutamanya selepas menyaksikan pemain kelahiran Brazil yang diberi jolokan Wak Doyok itu sudah menemui sentuhan ketika meledak dua gol menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), semalam.
Untuk itu, tiada harapan lain yang diharapkan Cheng Hoe kecuali magis mampu dijelmakan pemain naturalisasi ketiga itu buat Harimau Malaya.
“Sudah pasti kita mengharapkan dia mampu berikan sesuatu kepada pasukan kebangsaan,” kata Cheng Hoe.
Pada latihan kali ini, Cheng Hoe tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa daripada anak buahnya kerana sedar permasalahan yang melanda arena bola sepak negara dan pemain hanya sempat beraksi dalam lima perlawanan domestik.
Bagaimanapun, ada perkhabaran kurang gembira apabila dilaporkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh mengalami kecederaan ketika aksi dengan Perak FC, semalam.
Mengulas mengenai situasi Sumareh, Cheng Hoe tidak mahu cepat melatah kerana perlu menunggu tahap kecederaan dialami pemain berkenaan.
“Buat masa sekarang, kita tunggu laporan dan kita ada pemain lain yang sedia ganti jika Sumareh tidak dapat bersama,” katanya.
Daripada senarai dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dua pemain S Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC) jadi calon sesuai untuk mengisi kekosongan jika Sumareh terpaksa disisihkan.
Add Comment