Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

All England harus jadi pemangkin kejayaan pemain negara


 

TERIMA kasih Lee Zii Jia bukan sahaja kerana menjuarai perseorangan lelaki All England bagi mengakhiri penantian empat tahun Malaysia selepas kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Kemenangan itu lebih besar maknanya dalam mengembalikan semula keyakinan peminat badminton Malaysia yang sebelum itu meragui kemampuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melahirkan pengganti Chong Wei.

Kejuaraan ini wajar menjadi permulaan kepada landasan kejayaan seterusnya, selain pencetus semangat kepada pemain-pemain lain untuk tampil lebih mantap hasil daripada asas yang diletakkan Zii Jia.

Memang untuk menyamai pencapaiaan Chong Wei adalah sesuatu yang amat sukar, tetapi setidak-tidaknya Zii Jia sudah memulakan usaha ke arah.

Malah, sudah ada peminat yang sudah ghairah membayangkan pingat emas Sukan Olimpik hasil kejayaan Zii Jia mengetepikan dua pemain teratas ranking dunia dalam laluan menjuarai All England, semalam.

Zii Jia menundukkan juara bertahan yang juga pemain ranking kedua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 di final dan sebelum itu menjinakkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota 21-16, 21-19 di suku akhir.

Namun, hakikatnya perjalanan Zii Jia yang genap 23 tahun pada 29 Mac ini, masih panjang dengan misi penting baginya adalah mengekalkan konsistensi permainan sebelum mengintai peluang mencari pingat di Olimpik Tokyo.

“Kejayaan ini tidak dinafikan menggembirakan rakyat Malaysia. Nasihat saya hanyalah untuk dia sentiasa merendah diri dan berpijak di bumi nyata.

“Perjuangan ini adalah marathon, bukannya pecutan,” kata Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam laman Facebook BAM.

Bagi Pengurus Besar BAM, Datuk Kenny Goh,  Zii Jia harus kekal fokus untuk menjadi antara pemain terbaik di dunia.

“Sukan Olimpik adalah pentas yang berbeza. Jadi, banyak lagi usaha perlu dilakukannya,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

 Lee Chong Wei 

Pengalaman wajar mengajar Zii Jia betapa kehilangan fokus boleh mengalihkan landasan kejayaan yang dibinanya, seperti yang pernah berlaku kepada juara All England 2003, Hafiz Hashim.

Menjuarai All England pada usia belum mencecah 21 tahun, Hafiz gagal menyerlahkan bakat besarnya dan terus tenggelam sehingga kemampuannya berjaya diatasi rakan seangkatannya, Chong Wei.

All England kali ini juga memperlihatkan satu lagi bintang baru menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang mencuri tumpuan mara sehingga suku akhir dalam penampilan sulung di kejohanan berstatus Super 1,000 itu.

Mereka meneruskan rentak kejayaan hasil kejuaraan di Terbuka Switzerland yang berstatus Super 300 pada 7 Mac lalu,  sebelum pengalaman menjadi pemisah ketika menentang pilihan kelima, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun sebelum tewas 21-12, 22-20, 16-21.

Pengarah Kejurulatih BAM, Wong Choon Hann berkata selain Pearly-Thinaah, beberapa pemain muda lain yang membuat penampilan sulung di Birmingham, dapat beraksi dengan baik.

Antara pemain muda itu adalah pemenang pingat emas Sukan SEA, 2019, S Kisona, beregu lelaki Low Hang Yee-Ng Eng Cheong dan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See serta Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

“Sudah tentu mereka gemuruh bila berjumpa dengan lawan lebih ternama, selain bermain dalam kejohanan utama.

“Tapi inilah halangan yang perlu diatasi mereka untuk menjadi yang terbaik…lawan-lawan inilah yang perlu mereka hadapi,” katanya.

Choon Hann berharap pemain-pemain ini dapat menimba pengalaman berharga dan mempunyai visi untuk menjadi pemain terbaik.

Sementara itu, bagi kalangan pemain profesional negara, masih banyak yang perlu dilakukan untuk terus relevan selepas tampil hambar kali ini.

Hanya  beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara sejauh separuh akhir manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula ke suku akhir.

Gandiingan Goh Soo Huat-Shevon Lai dan Liew Daren pula gagal melepasi halangan pusingan pertama, masing-masing dalam acara beregu campuran dan perseorangan lelaki.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: