
Gandingan Pearly Tan-M Thinaah terus mendukung cabaran negara apabila mengesahkan tiket ke suku akhir acara beregu wanita kejohanan All England, malam tadi waktu Malaysia.
Pasangan nombor 22 dunia itu yang menjuarai Terbuka Switzerland 11 hari lalu, meneruskan kecemerlangan mereka apabila menundukkan beregu tuan rumah Jessica Hopton-Jenny Moore 21-18, 21-7.
“Pearly-Thinaah sudah melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini.
“Kami mengkaji video rakaman perlawanan pasangan itu menentang Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan di pusingan pertama Terbuka Switzerland lalu.

“Beregu England ini cukup bersemangat dan lebih kuat daripada segi fizikal, jadi Pearly-Thinaah sudah disiapkan untuk bermain rali panjang sejak dari mula,” kata jurulatih negara, Chan Chong Ming kepada CAKAPSUKAN ketika dihubungi.
Ini adalah penampilan sulung Pearly-Thinaah di kejohanan tertua badminton dunia selepas digandingkan pada 2019 dan mereka adalah wakil tunggal negara dalam acara ini selepas gandingan Teoh Mei Xing-Yap Ling menarik diri akibat kecederaan Yap Ling.
Di suku akhir nanti, Pearly-Thinaah akan menentang pemenang pertemuan antara pilihan kelima, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun dan Kati Kreet Marran-Helina Ruutel dari Estonia.





Add Comment