KIJANG Rangers FC (KRFC) muncul sebagai kelab kedua di Kelantan yang akan menyertai Liga M3 2021 selepas Kelantan United FC muncul sebagai juara pada edisi pertama 2019.
Menurut kenyataan media KRFC, permohonan kelab untuk menyertai Liga M3 telah mendapat kelulusan secara tidak rasmi dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan hanya menunggu pengumuman rasmi daripada mereka dalam masa terdekat.
“KRFC merupakan sebuah kelab bolasepak tempatan yang akan berpusat di Pasir Mas, Kelantan dan akan menggunakan Stadium Mini Pasir Mas sebagai lokasi utama untuk latihan dan perlawanan rasmi pasukan.
“KRFC ditubuhkan dengan tujuan untuk memberi peluang kepada pemain-pemain Kelantan untuk mengembangkan bakat dan kebolehan mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu.
Kehadiran KRFC dalam kancah bolasepak tempatan bukan untuk menambah bilangan kelab bola sepak, tapi bertekad untuk mencabar kelab-kelab yang lebih berpengalaman dan membawa nama kelab ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kelab akan menggunakan kepakaran jurulatih dan pemain-pemain yang 100 peratus terdiri daripada anak-anak tempatan.
“Rata-rata pemain yang akan menyertai kelab nanti mempunyai pengalaman beraksi di pelbagai peringkat liga di Malaysia seperti Liga Super, Liga Perdana, Liga M3, Piala Presiden, Piala Belia dan liga-liga tempatan.
“Gabungan pemain-pemain berpengalaman dan pemain-pemain muda dijangka akan dapat membantu Kijang Rangers FC ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Add Comment