Bola Sepak Semasa Terkini

Selangor FC laung amaran awal


Shahrel Fikri cuba mengekang larian ketua pasukan Sri Pahang FC, Herold Goulan.

Oleh : Subkhi Sudarji / Mohd Izari Rosli (Foto)

SELANGOR FC melaungkan amaran awal kepada pesaing lain dalam Liga Malaysia 2021 apabila tidak berdepan masalah menewaskan Sri Pahang FC, 3-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Dua gol dari pemain import, Oliver Buff pada minit ke 45 dan 95 serta Shahrel Fikri (m54) memastikan tiga mata mutlak buat tuan rumah manakala gol saguhati pelawat dijaringkan Nor Azam Azih melalui sepakan percuma pada minit ke 69.

Turun tanpa Brendan Gan, tuan rumah ternyata ghairah memburu kemenangan apabila melancarkan serangan sebaik sahaja wisel perlawanan ditiupkan pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih.

Pemain sayap Selangor FC, Sean Eugene Selvaraj seharusnya meletakkan pasukan dihadapan pada minit ke 24 namun hantaran lintang cantik dari Wan Zack Haikal  Wan Nor gagal disudahkan dengan sempurna untuk gol pertama.

Selang empat minit kemudian Sean Selvaraj sekali lagi memiliki peluang menjaringkan gol namun rembatannya terkena palang ketika penjaga gawang Sri Pahang FC, Mohd Helmi Eliza sudah pun tertewas.

Selangor FC terus menekan pelawat dan kali ini pemain baharu yang dibawa masuk, Shahrel Fikri Md Fauzi melakukan rembatan pada minit ke 39 namun berjaya dinafikan Mohd Helmi.

Sri Pahang FC turut memiliki peluang pada minit ke 40 melalui serangan balas namun larian Lee Andrew Tuck dihalang Syahmi Safari menyebabkan pemain kebangsaan itu dilayangkan kad kuning.

Gol yang dicari Selangor FC akhirnya muncul hasil rembatan cantik dari luar kotak penalti yang dihasilkan pemain import, Oliver Buff dipenghujung separuh masa pertama.

Pemain import Sri Pahang FC, Lee Tuck berjaya melepasi kawalan Oliver Buff.

Memasuki babak kedua, Selangor FC terus memberikan asakan melalui rembatan dari Abdul Halim Saari pada minit ke 53 tetapi berjaya dinafikan Helmi Elia namun gol kedua tuan rumah muncul hasil jaringan Shahrel Fikri selang seminit kemudian.

Tersentak dengan gol kedua tuan rumah, Sri Pahang FC cuba bangkit dan mengatur gerakan bagi merapatkan jurang dan terhasil melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti yang disudahkan Nor Azam Azih untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Selang 10 minit kemudian, ketangkasan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid yang menepis tandukan Herold Goulan memastikan impian pelawat meraih gol kedua tidak kesampaian.

Ketika perlawanan bakal ditamatkan dengan keputusan 2-1, Buff sekali lagi mencetak nama selaku penjaring kedua peribadi dan ketiga buat pasukan untuk memastikan tiga mata penuh buat Selangor FC.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: