Bola Sepak Terkini

Bos Gaurus sentiasa konsisten


Shahrul (kiri) terus setia bersama Perak FC.

Oleh : Mohd Fitrie Muhamad

REKOD sudah membuktikan yang Perak FC mampu untuk dikelaskan sebagai pencabar terkuat kepada mana-mana pasukan dalam apa juga piala yang dipertandingkan.

Walaupun saban tahun ada pertukaran pemain sama ada import mahu pun tempatan, skuad The Bos Gaurus sentiasa berada dalam keadaan stabil untuk cuba beri saingan.

Walaupun sudah kehilangan ‘mesin gol’, Shahrel Fikri Md Fauzi yang berhijrah ke Selangor, Perak FC masih layak untuk dilabel sebagai pasukan pencabar.

Hubungan Mehmed (kanan) dan Shahrul boleh dianggapkan bapa dan anak kerana memahami antara satu sama lain yang memudahkan perancangan pasukan.

 

FAKTOR MEHMED DURAKOVIC

Sejak bekas pemain kebangsaan Australia, Mehmed Durakovic mengambil alih barisan kejurulatihan pada 2017, nyata ada kelainan yang dibawa.

Tidak hanya sebagai pengendali pasukan, perwatakan Durakovic juga dikatakan cukup disenangi pemain malah tidak keterlaluan untuk melabel jurulatih itu sebagai ‘ayah’ buat anak buahnya.

Apa tidaknya, dengan pasukan mana sekali pun dia bertugas, tidak kira apa jua keputusan, Durakovic tidak pernah sesekali ‘membelasah’ pemainnya sebaliknya hanya kata-kata pujian yang keluar daripada mulutnya ketika menjawab persoalan daripada pihak media.

Jadi tidak hairanlah jika ada yang mengatakan pemain berhempas pulas melaksanakan tugasan hanya demi Durakovic.

PERSEFAHAMAN YANG MATANG

Jika pasukan lain cukup galak melakukan pembelian pemain, ia berbeza dengan pasukan Perak FC yang bakal dibarisi ramai tonggak sedia ada disamping tambahan beberapa muka baru.

Ketika ini trio Brazil Leandro Dos Santos, Guilherme de Paula dan Raianderson Da Costa Morais atau Careca terus kekal.

Walaupun masih mengekalkan ramai muka lama, ia bukan jadi isu besar kerana ia pasti memudahkan perancangan Durakovic ketika setiap pasukan tidak memiliki banyak masa untuk melakukan perubahan besar semasa pandemik Covid-19.

Faktor persefahaman antara pemain menjadikan ia kelebihan buat Perak FC dan ketika ini hanya untuk merealisasikan taktikal jurulatih.

Pertahanan import dari Singapura, Shakir Hamzah memperkuatkan benteng pasukan.

BENTENG MAKIN KEBAL

Berbicara tentang kemasukkan pemain baru, Perak FC hanya melakukan yang perlu saja dan kelibat pertahanan import dari Singapura, Shakir Hamzah serta penjaga gol muda negara, Azri Ghani cukup menarik untuk disaksikan.

Yang pasti, kehadiran Shakir dijangka akan mengukuhkan lagi barisan belakang untuk digandingkan bersama Shahrul Saad.

Azri yang juga bekas penjaga gol skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara cukup cemerlang di gawang Kedah musim lalu dan kehadirannya akan menambahkan lagi kompetitif kepada Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

PEMAIN TUMPUAN

* Careca (tengah)
* Shakir Hamzah (pertahanan)

PENCAPAIAN MUSIM LALU 

Keempat Liga Super 2020


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: