Oleh : Subkhi Sudarji
SRI Pahang FC mahu menjadikan perlawanan persahabatan tiga penjuru yang disertai bersama Uitm FC dan Terengganu FC2 II (TFC2) dijadikan pentas menguji prestasi pasukan sebelum saingan Liga Malaysia, 5 Mac nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata kepada CAKAPSUKAN, penyertaan pasukan dalan perlawanan persahabatan ini merupakan peluang terbaik untuk mengenalpasti persefahaman selain mengukur tahap kecergasan barisan pemain.
“Sri Pahang FC akan menyertai Uitm FC dan TFC2 menggantikan Perak FC yang menarik diri. Kami anggap ini peluang dan penting bagi menilai kemampuan pasukan,
“Pentas terbaik dan kayu pengukur pasukan serta pemain,” jelasnya yang turut memaklumkan akan menyertai perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan FC pada 26 Februari nanti di Paroi.

Mengenai persiapan pasukan, Mohammed Suffian memaklumkan, segalanya berjalan lancar dengan latihan berpusat dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemain kini ditempatkan dalam kem di Temerloh mengikut SOP Gelembung Sukan, hampir 70 peratus muka-muka baharu yang rata-ratanya anak jati Pahang membarisi pasukan kali ini,” katanya.
Perlawanan persahabatan tiga penjuru anjuran Uitm FC dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula malam ini pastinya menjadi taruhan terbaik buat pengendali baru Sri Pahang FC, Thomas Dooley menguji kemampuan pemain.
Pastinya kelibat lima import Sri Pahang FC iaitu Pedro Henrique, Herold Goulon, Mamadou Wague, Lee Tuck dan Yevhen Bokhashvili bakal menjadi tumpuan.
Add Comment