Badminton Semasa Terkini

NORZA DI JANGKA TERUS MEMIMPIN BAM

Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

TAN Sri Mohamad Norza Zakaria dijangka terus menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2021-2025.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM dijadual berlangsung pada April nanti dan setakat ini tiada kempen daripada mana-mana persatuan negeri untuk menonjolkan calon masing-masing.

Berikutan itu, Mohamad Norza dijangka tidak akan ditentang oleh mana-mana calon, apa lagi sejak 36 tahun lalu kerusi nombor satu BAM itu tidak pernah dipertandingkan.

Ahli Majlis BAM, Datuk Ng Chin Chai percaya persatuan itu akan meneruskan kesinambungan pimpinan sedia ada apa lagi dengan tumpuan kini diberikan kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.

“Saya tidak nampak ada sebab untuk menukar pimpinan sedia ada apa lagi dengan pandemik Covid 19 ketika ini kita turut menghadapi kesukaran mendapatkan penaja.

“Ketika Sukan Olimpik Tokyo hanya tinggal beberapa bulan diikuti Sukan Olimpik Paris 2024, lebih baik kita memberi tumpuan memantapkan skuad negara serta persatuan.

“Namun segalanya terpulang kepada Tan Sri (Mohamad Norza) untuk mempertahankan kerusinya.

“Tapi saya percaya beliau masih sudi terus memimpin persatuan,” katanya kepada CAKAPSUKAN hari ini.

Mohamad Norza menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sewaktu AGM 29 April 2017 yang menyaksikan BAM masih mengekalkan tradisi lebih tiga dekad tidak mempertandingkan jawatan tertinggi itu.

Tiada tarikh akhir pencalonan kerana BAM masih mengekalkan cara lama iaitu pencalonan hanya dibuat sewaktu AGM.

“BAM kekal dengan cara lama. Walaupun sebelum ini ada ura-ura mahu menukar pendekatan itu, namun ia tidak diteruskan,” kata Ng yang juga bekas Setiausaha Agung persatuan itu.

Pemilihan BAM juga cukup mudah kerana ia hanya membabitkan tiga jawatan iaitu Presiden dan dua kerusi Timbalan Presiden manakala jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari adalah dilantik.

AGM yang dijadualkan April ini dijangka dianjak ke Mei, seiring dengan Terbuka Malaysia yang ditunda ke bulan sama.

Ini berikutan biasanya AGM diadakan pada hari terakhir Terbuka Malaysia kerana lebih mudah mengumpulkan semua Ahli Majlis, selain hadir menyaksikan perlawanan akhir kejohanan itu.


Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: