KIRA-KIRA empat tahun lalu boleh dikatakan hampir kesemua penyokong bola sepak tempatan cukup mengenali siapa anak muda bernama N. Thanabalan.
Inilah salah seorang penyerang muda negara yang dahulu sebaris dengan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid ketika bersama skuad bawah 23 tahun (B-23).
Tahun 2017 menjadi tahun gemilang buat sosok yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan ini apabila berjaya menyumbangkan sembilan gol sepanjang 11 perlawanan dalam pelbagai kejohanan termasuk perlawanan persahabatan bersama skuad B-23 yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee.
Dalam aksi kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok, Thailand, Thanabalan berjaya menjaringkan gol setiap perlawanan ketika Indonesia (3-0) dan Mongolia (2-0) sekali gus menyaksikan skuad muda negara layak ke pusingan akhir sebagai juara Kumpulan A dengan kelebihan enam mata.
Namun nama Thanabalan mula disebut-sebut sebagai prodigi bola sepak tanah air selepas membantu pasukan bimbingan Kim Swee ke pentas final Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dengan menjaringkan gol tunggal menewaskan Indonesia di Stadium Shah Alam.
Bagaimanapun Thanabalan dilihat sedikit ketinggalan berbanding rakan-rakan sepasukan skuad b-23 yang lain selepas perjalanannya bersama skuad junior berakhir dengan menyertai pasukan Kedah pada tahun 2019.
Ketika Safawi menyinar bersama JDT, Thanabalan sekadar menjaringkan satu gol sepanjang 11 perlawanan bersama skuad Helang Merah sebelum dipinjamkan ke Perak II pada tahun lalu.
Bagaikan nasib tidak memihaknya, peluang untuk mengembalikan sentuhan berbisanya tidak berjalan seperti dirancang selepas Liga Malaysia terpaksa dihentikan seketika gara-gara pandemik Covid-19.
MASA UNTUK LONJAK SEMULA
Namun Thanabalan menegaskan kepada CAKAPSUKAN,dia tidak akan sesekali berputus asa untuk menghidupkan kembali kariernya selepas disahkan menyarungkan jersi pasukan Sabah FC bagi kempen Liga Malaysia musim 2021.
“Saya amat gembira dan saya mahu kembali seperti dulu. Saya akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-26 pada minggu hadapan (26 Februari) dan menjadi pemain Sabah menjadi hadiah hari jadi yang cukup bermakna bagi saya.
“Saya rasa bagaikan mati hidup semula. Sejujurnya saya amat kecewa sepanjang dua tahun lalu.
“Saya kurang bermain dan ini amat menyedihkan bagi saya. Tahun lepas semasa saya dipinjamkan ke Perak II daripada Kedah, saya fikir saya dapat peluang untuk bermain dengan lebih banyak disebabkan saya jarang beraksi buat Kedah pada tahun 2019.
“Namun nasib sekali lagi tidak menyebelahi saya apabila negara kita dilanda wabak Covid-19 dan saya hanya sempat bermain lima perlawanan sahaja bersama Perak II sebelum Liga Malaysia terpaksa dihentikan.
“Kali ini saya semangat dan teruja apabila Sabah mengintip saya dan saya tahun ini adalah momen terbaik untuk mengulangi sentuhan saya dan saya tidak mahu kecewa lagi.
“Apa yang pasti saya akan bersaing habis-habisan untuk merebut kesebelasan utama dan saya juga ada dua rakan yang pernah bermain bersama iaitu Azizan Nordin dan Sabri Sahar semasa mewakili Sekolah Sukan Bukit Jalil di bawah bimbingan jurulatih, Aminuddin Hussin,” katanya.
Dalam masa yang sama, Thanabalan juga percaya keputusan menyertai Sabah FC bakal dijadikan peluang buat dirinya sendiri untuk mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan.
“Saya benar-benar tidak sabar untuk bermain dan juga mencari tempat semula dalam pasukan kebangsaan.
“Kali terakhir saya bermain ketika mewakili skuad junior dalam kejohanan Sukan SEA 2017, Piala AFC B-23 awalan 2018 China tetapi saya terlepas bermain di Sukan Asia Indonesia pada tahun yang sama disebabkan masalah kecederaan.
“Apa yang pasti, saya mahu kembali menyarungkan jersi pasukan negara,” katanya.
Add Comment