Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

PEMILIHAN KONGRES FAM KE-57: DINAMIK ATAU STATIK?


OLEH MOHD FARIQ

PEMILIHAN Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sentiasa menjadi subjek yang selalu mencuri perhatian masyarakat terutama penyokong bola sepak tempatan.

Masakan tidak, inilah barisan badan kepimpinan tertinggi badan induk yang dicalonkan serta diundi bagi mengangkat martabat bola sepak negara baik di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.

Hebatnya sesuatu organisasi bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin dalam mengatur gerak jentera dalam melakarkan visi dan misi sebagai usaha menjana industri bola sepak negara dalam ekonomi kian mencabar.

Sebelum berhujah panjang, penulis terlebih dahulu mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden FAM pada pemilihan Kongres FAM ke-57 yang akan diadakan pada 13 Mac nanti.

Dalam Kongres FAM ke-57, dua jawatan bagi jawatan Timbalan Presiden di mana salah satunya iaitu Datuk Yusoff Mahadi telah menang tanpa tanding diikuti (empat) Naib Presiden dan (lapan) Exco FAM akan dipertandingkan nanti.

Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam dan penulis percaya bahawa semua pihak masih menaruh harapan tinggi terhadap anak jati Gombak itu untuk memperkasakan bola sepak negara khususnya perancangan dan pelaksanaan beberapa misi  dalam F:30.

Sekali lagi penulis ingin mengucapkan tahniah kepada Hamidin di atas kejayaan untuk terus kekal menerajui pucuk kepimpinan bola sepak negara.

F:30 dirasmikan secara bersama oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino (kanan), Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa (kiri ) dan Hamidin di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2018.

 

BARISAN EXCO FAM BUKAN PELENGKAP CARTA JAWATANKUASA

Seperti penulis maklumkan, topik yang dibincangkan ini bukanlah berfokuskan kepada kejayaan Hamidin yang merupakan Presiden Malaysian Football League (MFL) terus kekal menerajui FAM.

Sebaliknya tumpuan kali ini diberikan kepada barisan-barisan Exco yang dipilih untuk membantu sistem pentadbiran bersama-sama Hamidin.

Jika kita mengimbau kembali perjalanan, penulis cukup yakin bahawa penyokong-penyokong hanya mengenali segelintir sahaja kelibat Exco-Exco FAM yang benar-benar memiliki jiwa bola sepak.

Apa yang pasti peminat mengetahui siapa Exco FAM yang ke depan dan sentiasa berinteraksi dengan penyokong serta sentiasa bersuara demi kepentingan bola sepak.

Usah kita bercakap mengenai situasi bola sepak semasa tempoh pandemik Covid-19, bahkan ketika kita menjalani kehidupan normal dulu kala pun tidak ramai kelibat Exco FAM tampil turun padang.

Kita tidak perlu menafikan bahawa itulah realiti berlaku sebenarnya di mana tanggapan penyokong-penyokong adalah kebanyakan modus operandi sebahagian Exco-Exco FAM hanya berkonsepkan agenda peribadi dan bukannya kerana semangat cintakan bola sepak negara.

Inilah menjadi kerisauan penulis apabila jika benar perkara ini berlaku maka ia menjadi satu keburukan kepada FAM itu sendiri di mana Hamidin perlu berada dalam kelompok orang yang positif dan sentiasa bersemangat untuk menaikkan tahap bola sepak negara.

Tanpa dinafikan FAM adalah platform cukup popular dalam negara tetapi jika pengisian calon itu lebih berkiblatkan kepentingan peribadi, lebih baik jangan masuk bertanding.

FAM seharusnya ada separuh muka-muka baharu untuk jawatankuasa tertinggi dan boleh membawa sesuatu kepada FAM daripada sudut idea, inovasi dan sebagainya.

Ini kerana penulis bersama penyokong-penyokong lain menaruh keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Hamidin dan sudah pasti ia memberikan impak jika tidak semua Exco FAM memainkan peranan yang diberikan selama ini.

PERUBAHAN ARUS DINAMIK HARUS BERLAKU PADA TAHUN 2021

Secara kesimpulan, penulis merumuskan bahawa kejayaan bola sepak negara tidak boleh bergantung kepada seseorang individu sahaja.

Sepatutnya Hamidin dibantu dengan orang yang benar-benar menyayangi bola sepak sebagaimana Hamidin mencintai sukan No. 1 negara ini sejak berkecimpungan lebih 30 tahun.

Bola sepak tidak cukup untuk seorang hero sahaja sebaliknya ia memerlukan sokongan serta bantuan daripada semua pihak khususnya individu-individu yang menang pencalonan dalam Kongres FAM kali ke-57 ini.

Ini kerana jawatan itu sebenarnya amanah dan tanggungjawab besar, bukannya platform mencari publisiti atau agenda peribadi.

Nasihat penulis kepada Hamidin agar sentiasa cekal dalam mentadbir urusan bola sepak negara.

Memetik Falsafah Machiavelli, kadang-kadang pemimpin harus ditakuti, bukan disayangi atau dihormati semata-mata.

Kata orang, baik berjagung-jagung sementara padi belum masak daripada belum duduk berlunjur dahulu.

Akhir kata daripada penulis, penyokong-penyokong bola sepak bukan sahaja mahu menyaksikan perubahan prestasi sebaliknya tranformasi pentadbiran menjadi lebih cekap dan berkualiti.

**Mohd Fariq mempunyai pengalaman sebagai penulis bola sepak lebih 25 tahun

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: