DRAMA perpindahan bekas pemain Pahang FA, Mohamadou Sumareh dengan bekas majikannya akhirnya terjawab apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (Pahang FA) perlu membayar denda RM4.9 juta ke atas bekas pemainnya itu.
Ini susulan Sumareh yang juga pemain naturalisasi negara itu membawa kes berkenaan ke pengetahuan FIFA selepas Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan hukuman gantung dua tahun keatasnya.
Memetik laporan New Straits Times pada hari ini, difahamkan FIFA mengambil keputusan itu setelah Sumareh membuat aduan kepada badan induk bola sepak dunia itu mengenai gaji yang tidak dibayar.
“Jumlah AS $ 1.2 juta (RM4.9 juta) yang diumumkan FIFA adalah jumlah keseluruhan gaji tahunan serta pelanggaran kontrak untuk tahun 2020 dan 2021. Ini adalah jumlah terbesar yang dimenangi oleh pemain di Liga-M,” ujar kenyataan tersebut.
Terdahulu pada Oktober tahun lalu PBNP menerusi Jawatankuasa Tatatertib telah menjatuhkan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak bagi empat kesalahan yang dilakukan Sumareh ketika dia masih bergelar pemain Tok Gajah.
Pemain kelahiran Gambia berusia 26 tahun itu kemudiannya membuat laporan rasmi kepada FIFA mengenai kelewatan PBNP melunaskan tunggakan gaji sepanjang pemain itu berkhidmat dengan pasukan itu.
Selepas meninggalkan Pahang, Sumareh akhirnya meneruskan kariernya dengan menyertai Police Tero FC (Thailand) tahun lalu sebelum kembali ke Malaysia tahun ini dan difahamkan bakal diumumkan sebagai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2021.

Add Comment