Antarabangsa Badminton Terkini

Zii Jia berdepan laluan sukar


PERSEORANGAN lelaki negara, Lee Zii Jia berdepan laluan sukar pada kejohanan Final Jelajah Dunia BWF HSBC di Bangkok selepas diundi berada dalam Kumpulan A yang turut disertai pilihan utama dari Denmark, Viktor Axelsen .

Selain Axelsen yang merangkul dua kejuaraan berturut-turut dalam tempoh dua minggu di Toyota Terbuka Thailand dan Terbuka Thailand Yonex, Kumpulan A juga turut disertai pemain Taiwan, Chou Tien Chen (pilihan ketiga) dan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada majlis undian yang diadakan sebentar tadi.

Zii Jia kini berada di ranking ke-10 dunia dan kelapan dalam Siri Jelajah Dunia yang akan bermula 27 hingga 31 Januari ini.

Bagi Kumpulan B pula, pilihan kedua dari Denmark, Anders Antonsen, Wang Tzu Wei (pilihan keempat dari Taiwan), Ng Ka Long Angus (Hong Kong) dan Srikanth Kidambi (India).

Dalam saingan beregu lelaki, Ong Yiew Sin-Teo Ee Yi diundi dalam Kumpulan A bersama gandingan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin, Ben Lane-Sean Vendy (England) dan Marcus Ellis-Chris Langridge (England).

Kumpulan B pula diisi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia), Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov (Rusia) dan Choi Soi Gyu-Seo Seung Jae (Korea Selatan).

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment