
PEMAIN antarabangsa Singapura, M Anumanthan sah menyertai skuad Hijau Kuning bagi saingan Liga Malaysia 2021.
Penyertaan pemain berusia 26 tahun ini yang merupakan bekas pemain kelab Hougang United itu telah menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan tersebut.
Berita gembira ini dimaklumkan KDA FC menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya hari ini yang menoktahkan teka teki berhubung pemain import bakal mengisi kuota pemain ASEAN menggantikan tempat seorang lagi rakan senegaranya, Muhammad Shakir Hamzah yang tidak disambung kontrak oleh KDA FC. Muhammad Shakir menyertai Perak bagi saingan Liga-M 2021.
“Kebolehan beraksi di beberapa posisi penting telah menarik minat barisan kejurulatihan KDA FC untuk mendapatkannya.
“Selain mempunyai fizikal tubuh badan yang tinggi, pengalaman pernah bersama (jurulatih KDA FC) Aidil Sharin (Sahak) di Home United sebelum ini akan membentuk persefahaman yang baik untuk musim 2021,” ujar kenyataan tersebut.
Anumanthan pernah berada di bawah bimbingan Aidil Sharin ketika mewakili Home United dalam saingan Liga Singapura dari 2016 hingga 2018.
KDA FC sebelum ini memutuskan mengekalkan khidmat tiga pemain import sedia ada iaitu pemain pertahanan dari Brazil Renan Alves, Kpah Sherman (Liberia), Brice Hermann Tchétché Kipré (Ivory Coast) serta mendapatkan khidmat bekas penyerang import UiTM FC, Rabih Ataya dari Lubnan bagi mengisi slot pemain Asia.
Kedah yang merupakan naib juara Liga Super pada musim lepas, bakal memulakan kempen Liga-M 2021 menentang juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim pada perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Feb ini.





Add Comment