Bola Sepak Semasa Terkini

Pengiktirafan buat saya

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PENYERANG berbisa tempatan, Shahrel Fikri menyifatkan gelaran Penyerang Terbaik 2020 yang diraih dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual sebagai satu pengiktirafan berharga untuknya selepas bergelut dengan prestasi pada musim lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak menjangka mampu mengungguli kategori tersebut pada tahun ini melihat kepada persaingan sengit daripada calon penyerang lain yang majoritinya adalah pemain import.

Namun, Shahrel bersyukur apabila usaha keras dan penat lelah mengharungi musim 2020 bersama Perak terbayar dengan kemenangan untuk dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik buat kali kedua sejak kali pertama memenangi kategori itu pada tahun 2017.

Jelasnya, musim 2020 ibarat memberi nafas baru kepada kariernya selepas bergelut dengan prestasi hambar pada musim lalu selain sukar untuk mendapatkan minit permainan, justeru dengan trofi yang dimenangi tahun ini pastinya akan memberi motivasi lebih tinggi untuk Shahrel bersama pasukan baharu, Selangor musim depan.

“Memang saya tidak menyangka trofi ini akan menjadi milik saya kerana kalau kita tengok ada 7 calon import yang sememangnya cukup berkualiti dan bukan mudah untuk ditandingi.

“Namun, saya bersyukur kerana usaha saya untuk menampilkan prestasi terbaik atas padang berbaloi dan semestinya anugerah yang diterima ini menjadi penghormatan kepada saya untuk buat lebih baik pada masa hadapan.

“Kali terakhir saya menang 2017, dan saya tidak tercalon pada 2019 kerana kurang menyerlah, jadi musim ini sememangnya musim yang cukup bertuah untuk saya, dan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang terlibat terutamanya rakan pasukan dan barisan jurulatih.

“Trofi ini juga saya tujukan kepada keluarga saya atas sokongan tidak henti, dan pastinya penyokong juga yang turut sama mengundi untuk ABK20 ini”, katanya.

Shahrel membawa pulang dua trofi pada musim ini apabila turut dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan CIMB Liga Super 2020.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: