
KELAB Bola Sepak Kelantan United (KUFC) bukan sahaja mendapat suntikan DNA Jepun menerusi kehadiran beberapa pemain tetapi turut mendapat sokongan padu pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult Malaysia Sdn Bhd.
Bukan sahaja membawa masuk pemain dari Jepun tetapi Yakult Malaysia turut menyalurkan tajaan bernilai RM250,000 selain perancangan program-program pembangunan bola sepak akar umbi bersama Kelantan United FC.
Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata ,sebagai sebuah syarikat Jepun, Yakult Malaysia ingin memainkan peranan dalam membentuk kerjasama yang lebih erat di antara Malaysia dan negara Jepun untuk menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak di Malaysia.
“Salah satu cara kami dapat memberi sumbangan ialah dengan menghubungkan kedua belah pihak secara strategik dan mendedahkan DNA bola sepak Jepun ke dalam arena bola sepak Malaysia.
“Saya melihat Kelantan United FC ini sebagai satu pasukan yang boleh pergi lebih jauh dan memberikan saingan yang sengit kepada pasukan lain bagi musim 2021.
“Rekod pencapaian terdahulu pasukan ini juga amat baik. Oleh yang demikian, kami memilih untuk menaja pasukan ini serta menjalinkan kerjasama strategik supaya ianya dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada pasukan ini,tetapi kepada penduduk di negeri Kelantan secara amnya,” ujar pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama KUFC di Hotel Ibis, Kota Bharu, Kelantan.
Persetujuan ini dicapai hasil perbincangan kedua-dua pihak sebelum ini yang diwakili oleh Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada serta Presiden KUFC, Dato Che Abdullah Mat Nawi, yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia.
Hamada turut memaklumkan, pihaknya juga telah memperkenalkan Ketua Jurulatih Jepun iaitu Akira Hagashiyama, Pemain Muda Jepun, Yuki Tanigawa dan Pemain Lagenda Jepun, Masashi Motoyama kepada pasukan Kelantan United sebagaimana sebahagian daripada intipati kerjasama ini.
“Motoyama merupakan bekas pemain kebangsaan bola sepak Jepun dan telah bermain bersama pasukan di Liga 1 Bola Sepak Jepun iaitu Kashima Antlers selama 18 tahun dan Kelab Giravanz Kitakyushu di Liga 2 Bola Sepak Jepun selama 4 tahun.
“Beliau sekarang berusia 41 tahun, namun saya yakin dan percaya beliau akan menyumbangkan sesuatu kepada pasukan ini dan pemain tempatan pada musim akan datang” tegasnya.
Sementara itu, Presiden KUFC , Dato Che Abdullah Mat Nawi, menyifatkan kerjasama strategik bersama Yakult Malaysia sebagai satu kerjasama pintar yang akan memberikan mafaat kepada pasukan Kelantan United FC serta pembangunan bola sepak akar umbi di negeri Kelantan.
“Grassroots development atau pembangunan akar umbi tidak perlu lagi dihuraikan kepentingannya. Sekiranya istilah “pembangunan akar umbi” hanya disebut-sebut dan tiada tindakan susulan untuk menggerakkannya maka semua itu hanyalah sembang kosong semata.
“Oleh itu, usaha yang giat haruslah diteruskan dan besarlah harapan kami agar melalui kerjasama strategik bersama pihak Yakult (Malaysia) ini, pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dapat diadakan sekaligus akan memberikan faedah kepada penduduk di negeri ini.” katanya.






Add Comment