Bola Sepak Terkini

Jawatankuasa Khas pantau pemilihan FAM


 

Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan FAM  bagi penggal 2020-2025 yang diwujudkan agar FAM mempunyai proses yang lebih telus dan beretika menjelang pemilihan FAM yang akan datang telah diadakan buat kali pertama semalam.

Mesyuarat dipengerusikan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said, selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa juga terdiri bekas Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Dato’ Ab Jalil Abdullah, bekas Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan & Kedah Salleh Ramli dan Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Fong Wan Hor,

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selaku Setiausaha kepada Jawatankuasa Pemilihan FAM; Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman serta sekretariat Unit Undang-Undang FAM.

Terdahulu, pembentukan Jawatankuasa Pemilihan FAM dan pelantikan ahli-ahli jawatankuasanya itu telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-56 di Hilton Petaling Jaya, 29 Ogos 2020.

Ia merupakan visi daripada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin sendiri yang mahu jawatankuasa ini diwujudkan supaya FAM mempunyai proses yang lebih telus dan beretika menjelang pemilihan FAM yang akan datang.

Prof Abdullah berkata, ini pertama kali FAM mewujudkan jawatankuasa pemilihan ini bagi menunjukkan ketelusan dan integriti dalam proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bermula dari penggal baharu 2021-2025 nanti.

“Mesyuarat pertama ini membincangkan penerangan mengenai tugas dan tanggungjawab jawatankuasa ini menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal baharu berkenaan pada Kongres FAM Kali Ke-57 pada 2021.

“Saya difahamkan FAM merupakan persatuan sukan kebangsaan pertama di negara ini yang mempunyai Kod Pemilihan tersendiri. Saya dan ahli-ahli jawatankuasa menghargai usaha dilakukan FAM ini bagi menjadikan proses pemilihan itu nanti lebih sistematik dan telus,” katanya.

Sementara itu, Stuart memberitahu bahawa langkah FAM mewujudkan jawatankuasa pemilihan ini penting bagi menunjukkan kepada ahli-ahli gabungannya bahawa FAM sentiasa ke hadapan dalam menambah baik proses pemilihan bagi memastikan ia memenuhi keperluan AFC dan FIFA.

“Ini satu langkah yang besar dilakukan oleh FAM untuk perkara di luar padang iaitu memperkenalkan ketelusan dan integriti dalam proses pemilihan persatuan ini yang mana ia sesuatu yang dimahukan dan ditekankan oleh Datuk Haji Hamidin,” kata Stuart.

Jawatankuasa Pemilihan FAM ini merupakan satu jawatankuasa bebas yang mana ia tidak melibatkan individu dalam kalangan ahli gabungan FAM dan juga keluarga bola sepak untuk mengendalikan proses pemilihan dengan merujuk kepada Kod Pemilihan dan Statut FAM.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment