Antarabangsa Bola Sepak Terkini

FAM sembah maklum perkembangan terkini kepada YDPA


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk  Hamidin Mohd Amin, hari ini menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuala Lumpur, bagi menyembah maklum perkembangan terkini bola sepak tempatan.
Hamidin menyembah maklum beberapa isu semasa kepada Baginda selaku tokoh yang berpengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan luar negara, termasuk menggalas tugas selaku Presiden FAM dari 2014 hingga 2017.
Dalam majlis menghadap Baginda kali kedua sejak 27 Jun 2019 itu, Hamidin menyembah maklum aktiviti bola sepak negara kendalian FAM dan Malaysian Football League (MFL) terutama membabitkan jadual perlawanan yang berlandaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan pandemik COVID-19.
Turut dibincangkan ialah perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya yang diilhamkan oleh ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014.
NTC di Presint 5, Putrajaya dicadang menampilkan kemudahan moden termasuk tiga padang berciri antarabangsa yang kini dalam perbincangan fasa terakhir bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum kerja-kerja awal pembinaannya dijangka dimulakan pada awal tahun depan.
Rundingan untuk membina ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 juga sedang dimuktamadkan dan dijangka mula dibina pada lewat tahun 2021.
Hamidin juga memohon perkenan pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda mengenai tanah FAM di Bentong, Pahang seluas 30 ekar.
Turut dinyatakan proses penswastaan kelab dan pasukan Liga Malaysia serta pemisahan FA kepada FC selain persediaan dan persiapan pasukan kebangsaan bagi menyambung saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac, serta perjalanan saingan Liga Malaysia musim 2021 juga Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang akan dijadual Disember tahun depan.
Hamidin juga menyembah maklum mengenai perkembangan terkini bola sepak yang diputuskan dalam EXCO AFF dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Sebagai tanda menjunjung kasih FAM ke atas Baginda, Hamidin turut menyampaikan pemberian jersi baharu skuad Harimau Malaya kepada KDYMM Seri Paduka Baginda.

Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: