Antarabangsa Lain-Lain Semasa Terkini

Wai Ching idam gelaran juara dunia 2021

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Wai Ching (dua,kanan) bersama Amir Hamzah (tengah) memegang t-shirt yang ditandatangani mereka pada satu majlis penghargaan di Ibu Pejabat TNB, baru-baru ini.

PELARI menara negara, Soh Wai Ching mengharapkan musim 2021 akan memberikan lebih banyak kejayaan buat dirinya untuk dinobatkan sebagai pelari menara nombor satu dunia.

Menduduki tangga kedua dunia ketika ini dan satu di Asia, pelari menara berusia 26 tahun itu memecahkan rekod Guinness World Records untuk Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam (Lelaki) (Greatest Vertical Height Stair Climbing in One Hour – Male), menerusi percubaannya di Hotel Four Seasons di Kuala Lumpur pada 18 November 2020.

Kejayaan tersebut memastikan Wai Ching memecahkan rekod terdahulu setinggi 1.227km yang dipegang oleh David Robles dari Sepanyol dengan catatan baharu 1.295km.

Bagi Wai Ching, yang juga Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia, sokongan berterusan daripada TNB sememangnya bermakna untuk beliau terutamanya dalam usaha untuk mencapai status sebagai pelari menara nombor satu dunia.

“Saya sangat berterima kasih kepada TNB atas kepercayaan mereka kepada saya untuk terus bergiat demi membanggakan negara dalam bidang larian menara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada TNB atas sokongan, terutamanya ketika permintaan saya di saat akhir untuk menggandakan penajaan mereka bagi Projek Guinness World Records. Tanpa TNB, saya tidak mungkin layak untuk mencipta rekod itu disebabkan
bayaran lesen yang diperlukan.

“Saya idamkan ranking nombor satu dunia tahun depan dan sokongan TNB membakar semangat saya untuk mencapai cita-cita itu,” kata Wai Ching pada majlis meraikannya di Ibu Pejabat TNB di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur,

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, untuk melakukan sesuatu seumpamanya adalah satu pencapaian mengagumkan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, serta mengharumkan nama Malaysia sekali lagi di persada antrabangsa.

“Hubungan TNB dengan Wai Ching bermula pada tahun 2019 dan sejak itu, beliau dengan bangganya mengharumkan nama TNB setiap kali bertanding di serata dunia,” jelasnya.

Amir Hamzah berkata, sebagai syarikat yang menerapkan budaya yang mendorong ke arah prestasi tinggi dan kejayaan berdasarkan merit, TNB berbangga dengan pencapaian Wai Ching.

Oleh itu, TNB meneruskan sokongannya kepada atlet itu dengan tajaan RM70,000 untuk tahun 2021, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan TNB sebanyak RM180,000.

“TNB sentiasa berbangga untuk bekerjasama dengan individu dan organisasi hebat dalam sukan yang mendukung semangat kecemerlangan.

“Penglibatan kami dengan sukan hoki negara, misalnya, telah menyaksikan banyak individu muda digilap menjadi permata dalam pasukan kebangsaan dan seterusnya membanggakan negara dalam pelbagai pertandingan,” katanya.

Sebagai rekod, antara pencapaian terbaik Wai Ching termasuk memenangi KL Tower International Towerthon Challenge 2019, Seoul Lotte World Tower Sky Run 2019 (pemenang), Empire State Building Run Up 2019 (tempat kedua), Taipei 101 Run Up 2019 (tempat keempat), serta tempat keempat dan satu-satunya wakil Asia yang bertanding dalam kategori Elit di La Vertical de la Tour Eiffel Tower 2019.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: