Hoki Semasa Terkini

Hockademy tidak akan sertai TNB-LHM 2021

JUARA Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini, Hockademy tidak akan mengambil bahagian untuk saingan TNB-Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021 yang dijadualkan berlangsung bermula 8 Januari hingga 28 Februari depan.

Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh majlis tertinggi pengurusan Hockademy yang berbincang pada 15 November lalu hanya empat hari sebelum tarikh tutup pengesahan penyertaan TNB-LHM pada 19 November lalu.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, beberapa isu utama telah digariskan dalam perbicangan tersebut termasuk ketidaktentuan yang timbul disebabkan oleh pandemik Covid-19 menjadi antara sebab utama mengapa Hockademy tidak dapat mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia yang dimenangi pada tahun ini.

” Tempoh persiapan yang singkat untuk mengadakan sesi pemilihan dan latihan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan di Lembah Klang sehingga 6 Disember ini dan kes Covid-19 masih mencatat bacaan empat angka sekali gus menimbulkan kebimbangan dan ancaman kesihatan ke atas para pemain dan pegawai pasukan.

” Sukar untuk mendapatkan penajaan ketika rata-ratanya syarikat terjejas dan berdepan impak kewangan yang teruk sepanjang tahun ini, wujud kemungkinan PKPB akan disambung lagi sekali gus menimbulkan ketidaktentuan tarikh penganjuran TNB-MHL dan kemungkinan ia akan ditangguhkan.

“Selain itu ia juga mengambil kira keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan negeri Johor dan Majlis Sukan Negara (MSN) membatalkan penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung pada April depan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19,” ujar kenyataan media tersebut.\

Bagaimanapun, Hockademy bersedia untuk mengambil bahagian dalam Liga Hoki Remaja Malaysia 2021, namun bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 ketika itu.

“Buat masa ini pihak Hockademy hanya ingin menumpukan kepada program pembangunan akar umbi kami yang dikenali sebagai Program Hocka Kids.

“Hockademy mendoakan kelicinan penganjuran TNB-MHL 2021 buat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selain mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian bagi kempen 2021,” tegasnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: