
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan badan induk sukan bola sepak tempatan itu merancang menarik diri daripada kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala AFF pada tahun depan.
Semalam, laman Facebook ASEAN Football News melaporkan badan induk bola sepak negara itu merancang menarik diri daripada kejohanan berkenaan dengan merujuk kepada laporan disiarkan cambodiafootballnews.com.
Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, laporan media ini adalah tidak benar.
“Kami di FAM t idak mempunyai sebarang rancangan untuk menarik diri daripada mana-mana pertandingan yang dinyatakan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Untuk rekod sebelum ini, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menunda aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Dalam kempen itu, Malaysia yang berada di kedudukan kedua Kumpulan G masih berbaki tiga perlawanan iaitu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.
Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pula pada Julai lalu mengumumkan penundaan saingan Piala AFF dan dijadualkan berlangsung pada April hingga Mei tahun depan.





Add Comment