Bola Sepak Semasa Terkini

Bekas pemain Selangor hargai keprihatinan Menteri Besar

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Assrof Hanfiah percaya bukan dia sahaja gembira dengan perkhabaran ini tetapi rakan sepasukan yang lain.PEMAIN skuad Selangor 1995 menyambut baik maklum balas disuarakan Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari yang akan mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ganjaran tanah.

Tanpa berselindung dan tetap menaruh kepercayaan akan ada sinar dihujung terowong bagi menyelesaikan isu ini, barisan pemain dan pengurusan tidak berniat untuk memburukkan sesiapa tetapi lebih kepada menuntut hak masing-masing.

Bagi pemain pertahanan tengah Selangor, Assrof Hanafiah dia menyifatkan kesudian Menteri Besar Selangor mencari jalan penyelesaian amatlah dihargai memandangkan sudah lama dia dan rakan-rakan menantikan janji ini.

“Terima kasih kepada Menteri Besar yang sudi membantu kami semua mencari jalan penyelesaian. Walaupun pada hakikatnya janji ini dibuat pada 1995 bukan ketika ini tetapi beliau segera memberi perhatian dan mengambil berat ke atas masalah ini.

“Usaha ini amatlah kami hargai yang pastinya akan membantu bukan sahaja saya tetapi rakan-rakan lain terutamanya dalam situasi semasa pandemik Covid-19 ini.

“Ada antara kami yang diberhentikan kerja begitu juga industri lain, tapi dengan usaha untuk meleraikan janji ini secara tidak langsung membantu kami semua,” ujarnya ketika dihubungi CakapSukan, sebentar tadi.

Sementara itu, penjaga gawang Selangor, Azlisham Ibrahim berkata, ini merupakan berita gembira yang semangnya dinantikan selepas 25 tahun.

“Selaku pemain yang dijanjikan dengan ganjaran ia berita baik bukan saya saha dan tetapi juga rakan-rakan dalam pasukan.

“Harapan saya agar usaha ini berterusan sehingga mampu memberikan manfaat kami sebagai pemain yang terlalu lama mengharapkan ganjaran ini ditunaikan,”tegasnya.

Untuk rekod, pada 11 November 1995, Selangor menjulang Piala Malaysia buat kali ke-28 selepas menanti sembilan tahun untuk menjuarai trofi terbabit.

Atas keprihatinan dan penghargaan kerajaan negeri ketika itu, Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib membuat pengumuman untuk menganugerahkan sebidang tanah kepada setiap pemain dan pegawai Selangor.

Bagaimanapun, selepas 25 tahun menanti, skuad berkenaan masih belum menerima tanah yang dijanjikan.

Semalam Kerajaan negeri memaklumkan akan menyemak dan meneliti data Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini, berkaitan tawaran sebidang tanah kepada skuad Selangor yang menjulang Piala Malaysia 1995.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata beliau akan menyemak maklumat sama ada tawaran tanah itu pernah diluluskan dan jika benar, di mana lokasinya.

Katanya, untuk memenuhi tawaran (sebidang tanah), ia mungkin membebankan kerana lebih 30 orang yang terbabit termasuk pegawai, jurulatih dan pemain, malah ada yang sudah meninggal dunia.

Penolong jurulatih pasukan bola sepak Selangor 1995, Datuk K Rajagopal (dua, kanan), bekas pemain-pemain pasukan bola sepak Selangor 1995 Ismail Ibrahim (tengah), Asmawi Bakiri (dua, kiri), K Gunalan (kiri) dan isteri kepada Allahyarham Anuar Abu Bakar, Siti Mariam Sathawee (kanan) menunjuk keratan akhbar mengenai penganugerahan sebidang tanah ketika Pendedahan Eksklusif Skuad Selangor 1995.

Terdahulu, Selasa lalu, skuad Piala Malaysia Selangor 1995 mengadakan sidang media khas mempersoalkan tawaran sebidang tanah seluas 0.4 hektar yang dijanjikan kepada mereka selepas kejayaan merangkul Piala Malaysia pada tahun berkenaan.

Wakil pemain yang juga kapten Selangor pada 1995, Ismail Ibrahim mahukan penjelasan daripada pihak bertanggungjawab mengenai ganjaran terbabit, memandangkan ia sudah dianugerahkan secara nyata kepada mereka.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: