Bola Sepak Lain-Lain Semasa

KKM akan tentukan status TM Piala Malaysia 2020

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

EKSKLUSIF Oleh MOHD FARIQ

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengesahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membuat tindakan susulan sebaik menerima surat rayuan daripada Malaysian Football League (MFL) yang berhajat untuk meneruskan kempen TM Piala Malaysia 2020.

Jelas Ismail Sabri, MKN dijangka akan menerima akan menerima surat rayuan itu daripada pengelola Liga Malaysia tersebut dalam tempoh terdekat selepas menolak permohonan pertama mereka yang mahu menggunakan gelanggang alternatif bermain di negeri bebas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Apa yang pasti, Ismail Sabri mengesahkan surat rayuan MFL itu akan dibawa ke mesyuarat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan atau sebaliknya kejohanan tertua di Asia Tenggara itu yang membuka tirai pada 6 November lalu kembali bersambung.

“MKN sudah pasti akan membawa (surat) rayuan (MFL) ke dalam mesyuarat (akan datang dan) pandangan KKM akan menentukan keputusan (untuk membenarkan atau sebaliknya TM Piala Malaysia 2020 kembali berjalan).

“Sebaik MKN mendapat surat rayuan pasti mereka akan membawa (perkara ini) ke dalam mesyuarat nanti,” katanya ekslusif kepada CakapSukan, hari ini.

Petang tadi, MFL telah mengesahkan mereka mengemukakan rayuan kepada MKN agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan TM Piala Malaysia 2020.

Rayuan ini dibuat susulan permohonan untuk meneruskan aksi TM Piala Malaysia ketika tempoh PKPB yang dikemukakan oleh MFL menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditolak menerusi pengumuman Ismail Sabri semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan untuk membuat rayuan kepada MKN itu diputuskan selepas mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini.

“Kami sedia maklum mengenai keputusan MKN yang mengambil kira situasi COVID-19 di negara yang menyebabkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

“Bagaimanapun MFL masih berharap agar pihak MKN dapat mempertimbangkan rayuan MFL untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta SOP (Prosedur Operasi Standard) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu “quarantine based”.

“Sebagai contoh pasukan-pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir. Pasukan-pasukan yang kalah pada perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri tersebut setelah tamat perlawanan.

“Keputusan untuk mengemukakan rayuan ini turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir di mana mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

MFL sebelum ini menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin sudah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam mencari jalan untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia 2020 selepas kerajaan mengumumkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 7 November 2020, iaitu sehari selepas pusingan pertama TM Piala Malaysia bermula.

Berdasarkan permohonan pertama yang dikemukakan kepada MKN sebelum ini, MFL telah menyediakan perancangan khas untuk menyambung saingan TM Piala Malaysia bagi pusingan suku akhir, separuh akhir dan final.

“Dalam surat permohonan itu, MFL menyediakan perancangan untuk meneruskan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 di negeri-negeri berkecuali PKPB di mana MFL telah membuat permohonan untuk menggunakan venue Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir dan separuh akhir dan final.

“Kami amat berharap agar perancangan ini dapat dipertimbangkan memandangkan penangguhan saingan TM Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara secara keseluruhan. Bagi MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang telah dimeterai dan ditandatangani bersama penaja-penaja untuk Liga Malaysia Musim 2020 sekiranya pertandingan TM Piala Malaysia 2020 tidak dapat diteruskan.

“Agak sukar untuk MFL menangguhkan kejohanan ini memandangkan kontrak pemain-pemain Liga Malaysia 2020 bersama pasukan-pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini,” katanya.

Sebagai rekod, kejohanan TM Piala Malaysia 2020 telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: