Bola Sepak Rencana Semasa Terkini

NFDP bukan idea LTK atau KJ

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ibrahim Mohamed

SUBKHI SUDARJI

TUNJANG program asal Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), Ibrahim Mohamed tampil menafikan projek itu cetusan idea Lim Teong Kim dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, anggota jawatankuasa kerja itu yang kemudiannya memegang tugas penolong pengarah teknikal PPBN, menegaskan NFDP diasaskan atas inisiatif kelompok kecil penggiat bola sepak tempatan dan dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Dato Sri Ahmad Shabery Cheek untuk dilaksanakan pada 2010.

Mengikut kronologi sebenar, Ibrahim berkata satu kertas cadangan Pelan Tindakan Untuk Meningkatkan Kembali Prestasi Bola Sepak Negara Dan Penubuhan Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara telah diangkat ke Jemaah Menteri pada 6 Januari 2010 untuk mendapatkan kelulusan dan seterusnya dilaksanakan.

“Susulan keputusan Jemaah Menteri, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan dana permulaan sebanyak RM 10 juta kepada Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara di Majlis Meraikan Kejayaan Kontinjen Negara di Temasya Sukan SEA Laos 2009 yang diadakan pada 12 Januari 2010 di PICC Putrajaya.

“Satu mesyuarat penyelarasan agensi pelaksana di antara KBS, KPM, MSN dan FAM telah diadakan pada 17 Mac 2010 dan bersetuju agar satu jawatankuasa ditubuhkan bagi merancang dan melaksanakan program pembangunan bola sepak di pelbagai peringkat,” kata Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Projek NFDP ,Lim Teong Kim yang menganggap pelan NFDP adalah cetusan idea beliau bersama Khairy sebagaimana yang dinyatakan menerusi satu temu ramah Bola Bola Show pada 25 September lalu.

Kertas kerja NFDP pula tercetus pada asalnya apabila KBS meminta MSN membantu wakil Everton FC yang membawa cadangan program pembangunan bolasepak ke Malaysia pada 2010.

“Dato’ Abdul Jalil Abdullah, yang memangku tugas Ketua Pengarah MSN disebabkan Dato’ Seri Zolkples Embong bercuti sakit, meminta saya membantu wakil Everton tersebut seterusnya menyediakan kertas kerja satu program bola sepak berbentuk nasional.

“Saya telah membawa delegasi Everton bertemu dengan Setiausaha Agung FAM ketika itu, Dato Sri Azzuddin Ahmad,untuk perbincangan serta mendapat persetujuan FAM serta untuk tindakan selanjutnya.

“Daripada situ, pada bulan Januari 2010, Ahmad Shabery terbang ke Everton atas tanggungan sendiri untuk meninjau kemudahan di sana. Sekembalinya beliau dari Everton, Jawatankuasa Bersama telah membincangkan isu-isu dan pelan tindakan pada 18 Februari 2010.

Pelancaran logo NFDP pada 2011

Timbalan Menteri, Dato’ Razali Ibrahim bersama  Ketua Pengarah MSN, Dato’ Sri Zolkples Embong (dua,kiri) Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung FAM, Dato’ Sri Azzuddin Ahmad pada majlis pelancaran logo NFDP 2011. 

Menceritakan secara kronologi, Ibrahim mendedahkan susulan lawatan Ahmad Shabery itu, Timbalan Menteri, YB Dato’ Razali Ibrahim, mengetuai rombongan meninjau Akademi Kelab Everton pada 7-15 Mac 2010, disusuli lawatan pasukan teknikal dianggotai wakil FAM dan MSN pada 14-23 April 2010.

“Kami turut dibawa ke Finch Farm, akademi Everton yang memuatkan 14 padang (3 pasukan utama, 9 akademi, 1 sintetik, 1 padang penjaga gol). Finch Farm dijadikan asas infrastruktur sedia ada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) hasil perbincangan dengan Dato’ Razali. Peruntukan asal AMD RM20 juta diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).”

Jawatankuasa Teknikal meninjau kemudahan di kompleks latihan akademi Everton FC di Finch Farm

Ibrahim (dua,kanan) bersama Jawatankuasa Teknikal meninjau kemudahan di kompleks latihan akademi Everton FC di Finch Farm.

 

Apabila Jawatankuasa Tabung Pembangunan Bolasepak Negara ditubuhkan bagi membincangkan hala tuju NFDP, Ibrahim mendedahkan perbincangan untuk mendapatkan calon selaku pengarah teknikal tertumpu ke arah dua legenda Belanda, Ronald Koeman dan Ruud Gullit.

“Disebabkan gaji yang mereka minta melebihi terlalu mahal, saya telah cadangkan nama Lim Kim Chon, pengarah teknikal FAM yang memiliki pengalaman luas selaku anggota kumpulan kajian teknikal FIFA. Mesyuarat sebulat suara bersetuju melantik Kim Chon sebagai Pengarah Teknikal NFDP yang juga menjalankan tugas selaku Pengarah Teknikal FAM.

“Dalam rundingan itu juga, semua pengarah kejurulatihan negeri yang bekerja dengan persatuan negeri ditanggung oleh MSN dan duduk di bawah NFDP dengan memegang jawatan selaku ketua jurulatih remaja negeri (KJRN).

Ibrahim (berdiri,dua kiri) bersama Lim Kim Chon (duduk, dua kanan) Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim ketika majlis pelancaran logo NFDP pada 2011. 

“Mesyuarat juga bersetuju untuk FAM menjalankan liga dan menguruskan pasukan kebangsaan, manakala NFDP memberi tumpuan kepada pembangunan. Ketika itu FAM, KBS dan KPM seiring dan sejalan, tiada siapa di atas, tiada siapa di bawah. Maka tidak timbul lagi isu yang mengatakan FAM tidak membuat sebarang program pembangunan.

“NFDP dilancarkan setelah setahun dibuat kaji selidik, perancangan dan perbincangan untuk memajukan sukan bola sepak negara dan disasarkan pemain yang berumur 8 tahun pada tahun 2010 akan layak bertanding di Kejohanan Piala Dunia Remaja Bawah Umur 17 pada tahun 2019.

“Mulai Mei 2010 bermulalah usaha menubuhkan Unit Bolasepak di MSN  serta mengenal pasti pusat di 14 negeri dan pengambilan jurulatih di seluruh negara bagi melaksanakan program NFDP ini.

Ibrahim bersama Luqman Hakim yang kini mencipta nama beraksi di luar negara.

 

Pemain-pemain mula diberi pendedahan ke pertandingan di Croatia, Bosnia Herzegovina, Jepun dan Korea sejak 2012, termasuklah Luqman Hakim Shamsuddin dan Fairoz Kaironnisam yang didedahkan kepada pertandingan antarabangsa seawal 10 tahun,

“AMD peringkat 1 siap pada 2012, dua tahun sebelum kononnya NFDP dilancarkan pada 2014.”

Ditanya beza NFDP asal dengan NFDP di bawah Khairy, Ibrahim mengakui program asal diperkasakan dan ditambah baik dengan beberapa elemen baharu, termasuk pendidikan jurulatih.

“Tetapi jangan kita buta sejarah dan menafikan sumbangan orang terdahulu.” ujarnya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: