Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

Kejahilan FAM punca kegagalan NFDP

LTK menyalahkan pengurusan NFDP yang campur tangan urusannya serta FAM yang tidak memikirkan urusan pembangunan peringkat remaja.

 

SUBKHI SUDARJI

BEKAS pengarah projek Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim menghangatkan dunia bola sepak tempatan apabila secara terus terang meletak kesalahan ke atas pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengurusan NFDP dan pengamal media berikutan kegagalan pasukan Bawah 16 tahun layak ke Piala Dunia FIFA Bawah 17 tahun pada 2018 yang membawa kepada kepulangannya ke Jerman.

Tanpa berselindung pengendali yang dilantik sebagai Pengarah NFDP pada 2013 dan mendapat gelaran sebagai “penyelamat bola sepak negara” oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, secara terus-terang menyalahkan budaya dan mentaliti penggiat dan pembuat dasar bola sepak yang merencatkan pembangunan tempatan.

CAMPUR TANGAN PENGURUSAN NFDP

Dalam temu ramah eksklusif atas talian bersama sebuah program bual bicara kendalian peminat tempatan Bola Bola Show yang dimuat naik pada 25 September lalu, Teong Kim mendedahkan kepincangan pelbagai aspek bola sepak tempatan, termasuk kaedah pengurusan projeknya sendiri, iaitu NFDP.

Bekas pemain negara itu menyalahkan pengurusan NFDP yang campur tangan urusannya serta FAM yang tidur tanpa memikirkan urusan pembangunan peringkat remaja.

Diminta mengulas lebihlanjut cabaran utama dalam melaksanakan perancangan NFDP, Teong Kim mendedahkan dirinya menerima tekanan dalaman NFDP sendiri selepas 2016.

“Pihak dalaman NFDP campur tangan dalam kerja saya. Saya berasa sedih, kerana mereka orang yang tidak tahu pasal bola sepak, dan pembangunan pemain bola sepak, maka hubungan kami menjadi panas.

“Sebelum itu pada 2014, 2015 dan 2016 apabila kami menang di sana sini, termasuk kejohanan bawah 14 tahun Piala Iber tetapi apabila keputusan tidak memihak kepada kami di Korea pada 2017 tidak silap saya, termasuk tewas kepada pasukan yang bersaiz fizikal lebih besar, di situlah mereka yang dahulunya di belakang saya tidak lagi memberi sokongan kepada saya kerana kami tidak lagi mencatat kemenangan.

Luqman Hakim (kiri) antara beberapa pemain yang dicungkil melalui program NFDP.

“Saya sudah jangka perkara ini berlaku, memang mentaliti orang yang bergiat dalam sukan di Malaysia, selagi kita menang, mereka sokong, bila kalah, tuding jari, ini salah itu salah.

“Sebaik pulang dari Korea, saya menerima e-mel yang ditulis dengan panjang mendakwa corak latihan saya keras, ini salah, itu salah, semua salah, tetapi jika saya tidak melakukannya, Luqman Hakim dan Sikh Izhan Nazrel Shikh Azman, Ali Imran Sukari, Ikhwan Hafiz, Ahmad Zikri Khalili, Harith Naem Jaineh, Najmuddin Akmal Kamal Akmal, yang sekarang ini bermain untuk Selangor 2 dan JDT 2 tidak akan muncul,” tegasnya.

FAM TIDUR SERTA TIDAK FAHAMI BOLA SEPAK

Dalam interviu itu juga, Teong Kim menuduh FAM tidur dan tidak memahami pembangunan bola sepak.

“FAM sudah ambil alih NFDP selama dua tahun tapi apa yang berlaku? Mereka boleh menyalahkan wabak COVID-19 tetapi di Eropah bola sepak remaja berjalan rancak.”

“Secara tiba-tiba Presiden FAM ambil alih NFDP dan tengok apa yang berlaku, perlukan 10 tahun untuk dapatkan keputusan, bila kalah jangan kecam tetapi sebaliknya berlaku sebelum ini bila kami kalah, anda kecam kami dan Presiden FAM tuduh banyak bazirkan duit.

“Penggiat bola sepak hanya tahu bola sepak Malaysia dan tidak didedahkan dengan perkembangan luar negara.

“FAM dan pengamal media mempunyai mentaliti bola sepak dewasa yang mengutamakan kemenangan sahaja,” katanya.

HANYA JDT SERBA LENGKAP

LTK melihat hanya JDT yang menyediakan infrastruktur profesional .

Teong Kim menegaskan satu kelemahan sehingga menyumbang kepada rasa rendah diri dalam kalangan pemain remaja dan senior berpunca daripada ketiadaan infrastruktur untuk bola sepak profesional.

“Satu-satunya kelab yang menyediakan infrastruktur profesional ialah Johor Darul Ta’zim (JDT). Mereka yang cari makan dalam bola sepak kena memikirkan masalah ini.

“Sebab itu KJ mencetuskan idea NFDP, kerana FAM tidur dan tidak menjalankan tugas. Sebab itu tiada akademi bola sepak di peringkat negeri. Boleh dikatakan pembangunan remaja kosong.

“Apakah FAM benar-benar mengambil berat mengenai pembangunan, jika adapun, apakah mereka tahu cara-cara melakukannya dengan betul,” jelasnya.

Teong Kim menegaskan beliau hanya sempat menghabiskan empat tahun dalam NFDP sedangkan kita memerlukan 10 tahun untuk membentuk seorang pemain.

“Di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), kita juga berpecah. Apabila saya ditugaskan ke AMD pada 2018, saya dapati padang di sana macam sampah. Padang itu macam padang-padang biasa lain di tepi jalan seluruh negara. Saya terpaksa ajar mereka untuk potong rumput pada ketinggian-ketinggian tertentu, ” tegasnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: