PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menjalankan siasatan terperinci dan menuntut penjelasan berhubung tindakan UKM FC yang meletakkan jurulatih mereka Sulaiman Hussin sebagai antara pemilik syarikat.
Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, Perkara terbabit memerlukan penjelasan secara terperinci terutama membabitkan kemampuan daripada segi kewangan dalam memacu syarikat terbabit untuk mengendalikan UKM FC.
“FAM menerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional meminta UKM FC menyediakan dokumen berkaitan terutama berkaitan aspek kewangan kerana sedia maklum perkara terbabit penting bagi sebuah pasukan dan tidak mahu perkara terbabit timbul pada masa akan datang.
“Pada masa sama meletakkan seorang jurulatih sebagai pengarah syarikat turut menimbulkan keraguan berkaitan kemampuan beliau terutama membabitkan kewangan.
“FELDA United FC pula sudah menghantar segala dokumen namun perubahan pengurusan menyebabkan mereka memerlukan dokumen berkaitan bagi menyokong perkara terbabit.
“Kedua-dua pasukan terbabit dikehendaki menghantar dokumen yang diminta dalam tempoh dua minggu dan jika gagal berbuat demikian kemungkinan akan dikenakan tindakan lanjut nanti,” katanya, dalam sidang media di Wisma FAM, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, menerusi mesyuarat Pelesenan Kelab (FIB) FAM mendapati semua pasukan Liga Malaysia yang memohon lesen terbabit lulus namun lapan daripada senarai itu dikenakan syarat dengan perlu mengemukakan dan melengkapkan beberapa dokumen berkaitan.
“Pasukan Liga Super menyaksikan semua pasukan lulus permohonan lesen kebangsaan cuma Pahang dan Melaka pula diberikan secara bersyarat seterusnya perlu menghantar dokumen seperti yang diminta FIB.
“Selain itu, pasukan Liga Premier pula, terdapat lapan permohonan namun lima daripada diberikan secara bersyarat iaitu Kuching FC, Kelantan FA, UKM FC, Pulau Pinang dan Sarawak manakala Kelantan United FC, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan tidak berhadapan masalah,” katanya yang memaklumkan semua dokumen berkenaan perlu diberikan tempoh sehingga hujung bulan ini dan jika gagal berbuat demikian lesen berkenaan akan ditarik balik.
Add Comment