Badminton

TRW rancang bina pusat latihan lengkap RM10 juta

THE Red Warriors (TRW) FC merancang akan membina pusat latihan lengkap dengan peruntukan antara RM5 hingga RM10 juta  dalam usaha menghadapi persaingan tahun 2020 hingga 2021.

Pemiliknya, Norizam Tukiman berkata, tiga lokasi iaitu di Kota Baharu dan dua lokasi di luar jajahan itu sudah dikenal pasti dan pusat berkenaan bakal dilengkapi kemudahan asas bagi keselesaan pemain.

“Antara kemudahannya ialah bilik mandi, dewan makan dan bilik rehat selain padang yang setaraf dengan keperluan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran jersi terbaharu TRW di sini, malam tadi.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga merancang untuk membina pusat latihan berbumbung supaya pemain dapat menjalani latihan pada waktu hujan dan akan memasang lampu limpah berkualiti untuk memudahkan latihan pada waktu malam.

Katanya, perancangan itu adalah antara perubahan besar yang perlu dilakukan untuk menjadikan pasukan TRW FC lebih disegani dan sekurang-kurangnya dapat bersaing untuk menduduki kedudukan lima terbaik pada Piala Malaysia, musim depan.

“Ini penting kerana Kelantan pada masa ini masih ke belakang dalam persaingan merebut tempat teratas,” katanya.

Sehubungan itu, Norizam berkata, bagi memantapkan pasukan itu pihaknya akan mengadakan siri latihan dengan pasukan bola sepak luar negara termasuk Jepun yang kini sudah ada perjanjian mengenainya.

“Kita turut menyasarkan pasukan TRW FC akan menjadi kelab bola sepak pertama yang akan ke pasaran saham atau IPO (Tawaran Awam Permulaan) di Bursa Malaysia pada tahun 2025,” katanya.

Mengenai jersi terbaharu pasukan itu, Norizam berkata, penukaran warna  mengenainya dilakukan atas permintaan penonton yang mahukan kelainan, imej dan semangat baharu dan ia telah dipersetujui Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Katanya, harga jualan jersi antara RM69 hingga RM99 sepasang mampu dimiliki penyokong setia Kelantan.

“Jika jualan mencecah 10,000 pasang, ia sudah mencukupi sebagai tanda sokongan rakyat Kelantan yang mahukan TRW FC bangkit kembali dalam menjuarai arena bola sepak Malaysia,” katanya.- Bernama–

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: