Badminton Semasa

Rawang BC miliki tonik tambahan

 

Christopher Raj (kanan) menyerahkan replika cek kepada Jeyaseelan pada majlis penyerahan tajaan kepada Rawang BC di Petaling Jaya hari ini.

RAWANG Badminton Club (BC) mendapat suntikan semangat bagi menghadapi musim baharu Purple League Junior (PLJ) menerusi sokongan yang diberikan oleh agensi perhubungan awam dan media sukan, ShekhinahPR Sdn Bhd.

ShekhinahPR meneruskan tajaan kepada Rawang BC untuk musim ketiga berturut-turut selepas memberikan sokongan kewangan berjumlah RM25,000 termasuk RM5,000 untuk tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj berkata, pihaknya mempercayai falsafah  dilaksanakan barisan kejurulatihan Rawang BC.

“Perkembangan di peringkat belia menjadi kunci utama dalam mana-mana sukan untuk menjamin masa depan yang lebih berjaya dan ini dapat dilihat menerusi penubuhan Rawang BC. Ia memberikan kami keputusan yang mudah untuk memberikan sokongan kepada Rawang BC bagi musim ketiga berturut-turut,” jelasnya pada majlis penyerahan cek yang berlangsung di ibu pejabat ShekhinahPR, Petaling Jaya hari ini.

Sementara itu, Pengurus Rawang BC, Jeyaseelan Anthony memaklumkan sumbangan diberikan ShekhinahPR ini menunjukkan komitmen mereka dalam membantu pembangunan sukan badminton ini khususnya dalam komuniti di Rawang.

“Saya mewakili barisan kejurulatihan, pegawai serta pemain muda Rawang BC di samping ibu bapa mereka amat menghargai peranan ShekhinahPR menerusi sokongan yang diberikan untuk membantu dalam persediaan kami menghadapi musim baharu Purple League Junior (PLJ).

“Kami sangat berbesar hati kepada kedua pihak ini kerana dalam detik yang sukar disebabkan oleh situasi membabitkan COVID-19.” tegasnya.

Dalam pada itu, Jeyaseelan percaya persiapan yang dihadapi Rawang FC dapat tingkatkan lagi kemampuan mereka dalam menghadapi PLJ2020.

“Semua pemain berusaha keras dalam sesi latihan tetapi mereka masih lagi punyai kekurangan dalam aksi kompetetif. Tanpa gabungan berkenaan, kami tidak dapat untuk menilai sepenuhnya kemajuan dan perkembangan pemain.

“Kami bernasib baik untuk kembali ke gelanggang dengan suasana persaingan menerusi PLJ dan kami tekad ingin meraih pencapaian yang lebih baik berbanding musim lepas,” tambah Jayaseelan lagi.

Jeyaseelan menghadiahkan jersi pasukan kepada Christopher Raj .

Rawang BC menamatkan saingan Divisyen 1 PLJ musim lalu di tempat kelima daripada penyertaan 9 pasukan.

Saingan PLJ yang telah bermula pada 3 Oktober lalu akan berlangsung hingga 22 November 2020, membabitkan empat lokasi yang merangkumi penyertaan 40 pasukan dalam 3 divisyen – satu peningkatan berbanding 22 pasukan yang beraksi dalam pertandingan tahun lalu.

Port Dickson menjadi lokasi pertama saingan PLJ kali ini sebelum menuju ke Ipoh, kemudian Puchong dan seterusnya Muar. Empat pasukan terbaik pada setiap lokasi akan bermain dalam pusingan akhir menggunakan format kalah mati di Putrajaya.

Pemenang PLJ 2020 akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan peluang menjalani latihan bersama pasukan remaja kebangsaan kendalian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia sementara naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan menerima RM8,000 dan RM5,000.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: