Badminton

Hikmah pemotongan tiga mata

Razman melihat semua pemain kini fokus dan sentiasa mempertingkatkan kualiti permainan.

PERTAHANAN Melaka, Razman Roslan, mendedahkan kekecewaan pasukan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata pada Mac lalu menjadi rahsia di sebalik kebangkitan mereka yang telah melakar kemenangan dua kali berturut-turut sejak Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos lalu.

Daripada kedudukan di zon penyingkiran CIMB Liga Super, Razman mengakui Melaka kini sudah boleh bernafas apabila berada di tangga kelima, hanya satu mata memisahkan mereka dengan Terengganu FC yang kini berada posisi kedua.

Selain itu perubahan yang diterapkan oleh pengendali, Zainal Abidin Hassan, terhadap pasukan turut menyaksikan tiada sebarang jaringan dapat dibolosi dalam dua perlawanan bertemu Perak dan Terengganu FC.

“ Mungkin ada orang akan cakap kalau tiga mata tidak dipotong tempoh hari, Melaka kini sudah menduduki tempat kedua namun tidak tentu juga kerana saya melihat ada perkara positif kepada pemain.

“ Apa yang saya nampak, pemain semakin meningkatkan lagi fokus mereka dan tidak bersikap sambil lewa sejak pemotongan tersebut dan mereka letakkan satu keazaman tinggi yang mereka mahu keluar daripada kedudukan dua terbawah.

“ Ini menjadi salah satu punca di sebalik kenapa kami mampu bermain baik dalam dua perlawanan sebelum ini dan saya rasa gembira kerana Melaka kini sudah mampu berada di pertengahan liga, “ katanya.

Pada 28 Ogos yang lalu, Melaka mengejutkan Perak di Stadium Perak, Ipoh melalui jaringan tunggal Ferris Danial sebelum mereka sekali lagi mencipta sensasi dengan menundukkan Terengganu FC juga dengan keputusan 1-0 di Stadium Hang Jebat untuk berada di tangga kelima CIMB Liga Super.

Melaka telah dikenakan pemotongan tiga mata pada 20 Mac lalu kerana gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada penghujung Februari 2020.

Mengenai perubahan permainan pasukan, Razman tidak menafikan Melaka memilih bermain secara bertahan pada dua perlawanan lalu seperti mana diterapkan Zainal namun cara itu nyata membantu pasukan.

“ Saya tidak nafikan kami menekankan corak permainan bertahan apabila berdepan dua pasukan ini (Perak dan Terengganu) kerana semua orang tahu kami adalah pasukan underdog.

“ Malah, semangat pemain juga luar biasa apabila masing-masing bertindak sebagai satu unit apabila kami diserang lawan dan ini turut membantu kenapa gawang kami berjaya tidak dibolosi dalam dua perlawanan lepas, ” katanya.

Melaka bakal berdepan satu lagi ranjau pada Jumaat ini apabila bakal berkunjung ke Stadium UITM Shah Alam bertemu Selangor yang turut melakar kemenangan pada aksi terakhir ke atas Sabah.

Razman berharap rakan sepasukannya tidak cepat berasa terlalu selesa dengan peningkatan prestasi yang mereka pamerkan setakat ini kerana masih ada lima lagi perlawanan yang perlu diharungi.

“ Matlamat asal kami masih sama iaitu tidak mahu tersingkir ke Liga Premier namun apabila sudah berada di kedudukan sebegini, tidak salah untuk terus letakkan sasaran lebih tinggi.

“ Berdepan Selangor, saya pasti ia satu lagi perlawanan yang sukar dan pemain-pemain kena percaya kepada diri sendiri yang mereka mampu lakukan serta jangan cepat berputus asa, ” katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: