
BERBAKI enam perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini, Sabah menganggap setiap perlawanan yang bakal dilalui selepas ini adalah pentas akhir bagi memastikan keputusan positif berjaya dilakar.
Kecundang 0-4 di tangan Terengganu FC di tempat lawan sebelum ini, ia sesuatu pengalaman berharga yang diraih anak didik Kurniawan Dwi Yulianto selepas tidak beraksi hampir empat dalam perlawanan kompetitif.
Lantas pertembungan menentang Selangor di Stadium Likas, Jumaat ini pastinya menjanjikan saingan sengit apabila rata-rata pemain Sabah telah mula merasai aura sebenar saingan Liga Malaysia selepas berehat panjang ekoran Pandemik Covid 19.
Bagi Kurniawan, aksi menentang Selangor dilaman sendiri umpama pentas final bagi pasukan dengan kini hanya berbaki enam perlawanan.
“Kekalahan tempoh hari memberikan banyak pengajaran buat pasukan, kesilapan-kesilapan kecil dan kurangnya komunikasi perlu dipertingkatkan seandainya kami ingin meraih keputusan positif.
“Pemain telah merasai aksi sebenar selepas berehat panjang dan saya percaya mereka akan bangkit memburu kejayaan, setiap perlawanan kita tidak boleh menjanjikan kemenangan tetapi usaha ke arah itu perlu dilakukan,” tegasnya.
Kekalahan 0-4 di tangan Terengganu FC meletakkan Sabah dikedudukan kedua tercorot liga dengan mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan manakala Selangor yang sekadar meraih satu mata menentang Petaling Jaya City FC ditangga kelapan dengan meraih enam mata.
Add Comment