
PEMILIK Hockademy, Dato’ Sri Megat D. Shahriman Zaharudin memberi bayangan bahawa kerjasama yang erat antara persatuan negeri dan badan induk Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) amatlah penting dalam meletakkan semula sukan hoki di tahap sepatutnya selepas kali terakhir menjejak kaki ke pentas Sukan Olimpik pada edisi Sydney 2000.
Jelasnya, Hockademy sentiasa akan memberi sokongan kepada MHC dan persatuan negeri untuk membangunkan hoki.
“Kita perlu menukar budaya lama dengan memastikan tiada lagi sempadan untuk kelab dan persatuan hoki di negara ini melaksanakan tugas masing-masing. Apa yang penting kita perlu pastikan tidak ketandusan bakat pemain di peringkat akar umbi,” katanya pada Festival 5 Penjuru Hockademy di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada hari ini.
Festival yang julung kali dianjurkan itu melibatkan penyertaan 23 pasukan pemain daripada Program Pembangunan MBPJ, Kelab Hoki 4 State, KL Thunder dan tuan rumah Hockademy manakala Akademi D’Touch dari Pahang muncul satu-satunya pasukan luar dari Lembah Klang.
Megat D. Shahriman mengharapkan penganjuran Festival 5 Penjuru Hockademy ini menjadi pencetus kepada lebih banyak program di peringkat akar umbi dalam usaha permulaan membantu MHC mendapat kelompok pemain hoki yang lebih besar.
“Saya berharap program seumpama ini khususnya untuk Bawah-10 (B-10), B-12, B14 dan B-16 dapat diperban agi. Tidak kira kelab atau persatuan hoki negeri perlu bekerjasama untuk memperbanyakkan lagi kejohanan akar umbi supaya kita dapat memupuk pelajar sekolah bermain hoki.
“Program yang kita buat ini mengikut konsep pembangunan Eropah di mana kejohanan dianjurkan secara bentuk festival dan ‘fun game’ dengan setiap pemain mendapat peluang beraksi dan tiada pasukan yang diangkat sebagai pemenang.
“Program seperti ini harus dibuat secara menyeluruh di peringkat akar umbi supaya misi kita untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dunia dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.
Add Comment