Bola Sepak Semasa Terkini

Jangan ada kluster bolasepak

 

Khalid melihat pandemik Covid 19 ketika ini masih belum pulih sepenuhnya dan MFL perlu menanggungkan Liga M. (Foto : Sinar Harian)

 

SUBKHI SUDARJI

LAGENDA bola sepak Malaysia, Khalid Ali mahu saingan Liga Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos nanti ditangguhkan dahulu berikutan situasi semasa pandemik Covid 19 yang masih belum berjaya diatasi sepenuhnya selain kemungkinan gelombang kedua bakal melanda Malaysia.

Mengambil kira tindakan Vietnam yang menangguhkan liga mereka susulan dua pemain kelab bola sepak positif Covid 19 dan keputusan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang menunda saingan Piala AFF Suzuki 2020 ke tahun hadapan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengendalikan saingan bola sepak tempatan seharusnya mengambil berat situasi semasa ketika ini.

“Daripada apa yang kita dengar, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sendiri memaklumkan keadaan sekarang masih belum memuaskan dan kemungkinan akan berlaku kejutan gelombang kedua jika kita gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Jepun dan China juga telah dilanda gelombang kedua ekoran kegagalan rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan, mereka adalah negara yang maju dari segi teknologi pun gagal untuk menangani Covid 19. Dalam masa setahun agak sukar untuk pulih.

“Sebaiknya tangguhkanlah dahulu Liga M dengan empat pemain Kuching FA telah positif Covid 19, adakah wajar kita meneruskan saingan, lihatlah Vietnam apabila dua pemain kelab mereka positif, tindakan penggantungan segera dilaksanakan.

“MFL berfikirlah secara baik untuk atasi perkara ini demi kebaikkan pemain, pasukan dan penyokong serta rakyat,” jelasnya dihubungi CakapSukan, sebentar tadi.

Keratan akhbar Sinar Harian mengenai seorang pemain Kuching FA positif Covid 19 yang dikesan pada peringkat awal sebelum ini sebelum ia merebak empat lagi pemain dalam pasukan.

Berdasarkan perkembangan semasa, lima pemain Kuching FA yang beraksi dalam saingan Liga Premier telah dijangkiti wabak pandemik itu yang pastinya membimbangkan para peminat bola sepak tempatan dengan keputusan MFL yang memaklumkan saingan Liga M akan bersambung pada 22 Ogos nanti.

Khalid yang beraksi di posisi tengah pada era 1970 an, bermain di posisi pemain tengah dan merupakan antara barisan pemain skuad negara di kejuaraan Olimpik Moscow 1980 mahu penyokong bola sepak tempatan bersabar sebelum keadaan benar-benar pulih.

“Memang betul kes ini tidak berlaku di Semenanjung tetapi Kuching FA bakal menentang pasukan-pasukan lain, jadi ini perlu difikirkan, aktiviti atau sukan berkumpulan ini bagi saya tidak boleh dilakukan lagi.

“Bagi penyokong bersabarlah dahulu, keselamatan nyawa adalah lebih penting ketika ini,” ujarnya.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan MFL Rabu lalu,  Kuching FA bakal melayan kunjungan Selangor 2 pada 26 Ogos di Stadium Sarawak, Kuching (8.15 malam) sebelum terbang ke semenanjung menentang Perak 2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 2 September nanti.

Ab Ghani menegaskan MFL sedang memantau perkembangan terkini Wabak COVID-19.

 

Sebelum ini, MFL melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Dato’ Ab Ghani Hassan memaklumkan Liga Malaysia akan kembali bersambung 26 Ogos 2020 di mana perlawanan akan dilangsungkan secara satu pusingan bermula minggu kelima sehingga minggu ke-11.

Jelasnya, perancangan jadual turut mengambil kira persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (FIFA dan AFC) pada bulan Oktober dan November 2020.

Pada masa sama Ab Ghani menegaskan MFL sedang memantau perkembangan terkini Wabak COVID-19 di Sabah dan Sarawak dan sebarang keputusan ke atas pasukan Sabah, Sarawak United FC dan Kuching FA akan dimaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan.

“Sehubungan dengan itu, buat masa ini Jadual perlawanan Liga Malaysia 2020 adalah kekal seperti yang diedarkan. Penundaan tarikh Asian Champions League 2020 yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (17 Oktober hingga 4 November 2020) turut diambil kira di mana perancangan pihakpenyiar r asmi dan komersial yang telah dirangka lebih awal oleh MFL.

“Sementara perlawanan tertunda yang melibatkan perlawanan CIMB Liga Super 2020 di antara PJ City FC melawan Terengganu FC dan Liga Premier 2020 di antara UKM FC melawan Kelantan akan dimainkan pada hari Sabtu, 22 Ogos 2020,” katanya dalam satu
kenyataan rasmi.

 

 

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: