Terkini

MKN tunggu permohonan KBS


Ismail Sabri membayangkan kebenaran penyokong untuk hadir ke stadium dapat dipertimbangkan semula.

 

Oleh MOHD. FARIQ

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan pihaknya hanya menunggu permohonan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan kebenaran penyokong bola sepak untuk hadir ke stadium.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan kejohanan berpasukan seperti Liga Malaysia (Liga-M) telah dibenarkan berlangsung bermula 15 Ogos depan tanpa kehadiran penonton.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memutuskan untuk menyambung kembali Liga-M pada 26 Ogos depan selepas aksi domestik ditunda gara-gara pandemik Covid-19 sejak 16 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu keputusan untuk mengadakan kejohanan berpasukan yang aktiviti berkontak penuh tanpa kehadiran penonton adalah petunjuk betapa pihak kerajaan memandang serius dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19.

Walaubagaimanapun, Ismail Sabri membayangkan kebenaran penyokong untuk hadir ke stadium dapat dipertimbangkan semula bermula dengan skala kecil jika pandemik Covid-19 di tahap paling memuaskan dari segi statistik jumlah keseluuruhan harian.

“Kami akan menunggu permohonan daripada KBS. Mungkin di babak-babak akhir Liga-M nanti atau bermula TM Piala Malaysia, mungkin ada peluang buat penonton hadir ke stadium, dengan skala kecik seperti saya pernah nyatakan sebelum ini.

“Ini kerana buat masa sekarang sehingga awal September adalah detik penting untuk negara dan kita sama-sama doakan pandemik Covid-19 akan berakhir,” katanya ekslusif kepada Cakapsukan.

Beberapa liga di dunia seperti J-League (Jepun) dan A-League (Australia) telah menyambung kembali aksi domestik mereka dengan membenarkan kehadiran penonton berskala kecil.

Kempen Liga-M dijangka berakhir pada September depan dan kejohanan TM Piala Malaysia bermula pada Oktober depan.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri optimis bahawa industi sukan tempatan akan kembali harmoni sedia kala jika rakyat Malaysia mematuhi Operasi Standard Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Saya sendiri pun mahu melihat penonton kembali hadir ke stadium untuk memeriahkan pasukan negeri masing-masing.

“Insyaallah jika semua mengikut SOP sekarang, tidak mustahil harapan kita untuk kembali seperti dahulu termasuk turun menyaksikan bola sepak boleh jadi kenyataan,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d