Bola Sepak Rencana Semasa

“Dia lah segalanya…”

Mokhtar dan Samad mengetuai Selangor dan Singapura untuk aksi Piala Malaysia 1977.

Oleh MOHD. FARIQ

MOKHTAR Dahari. Satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam sukan bola sepak negara.

Mokhtar yang cukup terkenal nama jolokan SuperMokh merupakan satu permata cukup berharga buat dunia di mana pencarian menggantikan pemain berbakat seperti anak jati kelahiran Setapak ini masih lagi teruskan sehingga hari ini.

Betapa besarnya impak SuperMokh dalam sejarah bola sepak Malaysia apabila banyak namanya diabadikan antaranya seperti Dataran Komuniti Mokhtar Dahari dan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.

Biarpun semalam genap 29 tahun pemergian Mokhtar, kehebatan dan legasi penyerang yang mengenakan jersi No. 10 tidak sesekali pernah padam dan sejarahnya sering kali diceritakan kepada anak muda zaman kini betapa sempurnanya sosok pemain bernama Mokhtar.

Menurut bekas pemain kebangsaan dan juga kapten Singapura, Samad Allapitchay mengakui bermain menentang ikon bola sepak Malaysia itu merupakan satu penghormatan cukup besar dalam kariernya.

Jelas Samad, Mokhtar berada dalam kelas tersendiri di mana disiplin, komitmen dan fokusnya sentiasa di tahap tertinggi.

Samad, yang juga membawa Singapura dua kali juarai Piala Malaysia, menegaskan aura Mokhtar bukan sahaja disegani kawan dan lawan sebaliknya pengadil-pengadil sangat menghormatinya setiap kali berdepan legenda negara ini.

“Benar, saya menikmati saat indah ketika ‘berlawan’ bersama Mokhtar.

“Jika kita mahu bercakap mengenai seorang tokoh ini, terlalu banyak perkara positif.

“ Beliau tidak ada kontroversi dan skandal, dan sentiasa mementingkan disiplin di mana beliau tidak gemar dikacau jika menjalani sesi latihan.

“Mokhtar adalah seorang pemain yang berdisiplin sehinggakan dia menjadi pemain yang dihormati seluruh Asia.

“Bayangkan jika kamu memiliki aura yang bukan sahaja memberikan kesan kepada pasukan sendiri atau lawan tetapi pengadil pun segan dengan kamu dan itulah Mokhtar. Permata yang tidak dapat diganti sampai bila-bila,” katanya.

Mokhtar menamatkan status bujang selepas berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim pada tahun 1979 dan dikurniakan tiga anak iaitu seorang anak lelaki; Mohd Redza (lahir 1980) dan dua anak perempuan; Nur Azera (lahir 1982) dan Nur Arina (lahir 1984).

Mokhtar (kiri) bersama lagenda bola sepak dunia, Diego Maradona pada aksi persahabatan Pilihan Selangor diketuai Mokhtar menentang Argentina Boca Juniors (Maradona) pada 14 Januari 1982 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur . (Foto : GambarKlasik)

Dalam dunia bola sepak, Mokhtar meninggalkan gambar ikoniknya selepas berjabat tangan dengan legenda Argentina, Diego Maradona sebelum perlawanan persahabatan Selangor menentang Boca Juniors.

Jika bercerita kelincahan Mokhtar di atas padang, beliau telah berjaya membantu Malaysia memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 dan pingat emas Sukan SEA berturut-turut pada tahun 1977 dan 1979.

Paling manis, Mokhtar menjaringkan gol kemenangan dua kali dengan 2-0 bagi Liga Malaysia XI menentang Arsenal dalam perlawanan persahabatan pada tahun 1975 sekali gus yang menimbulkan spekulasi mengaitkan kelab Inggeris menaruh minat kepadanya.

Mengimbau kembali perjalanan itu, Samad sendiri mengakui beliau pernah memujuk Mokhtar untuk berhijrah ke luar negara seperti Itali dan England selepas mencipta nama di negara.

“Saya pernah bercakap dengan Mokhtar mengenai perkara ini.

Samad cukup kagum dengan sikap merendah diri Mokhtar.

“Saya bertanya ‘Mokhtar, kenapa kau tak pergi (bermain di) England atau Itali? Sedangkan mereka berminat dengan kau dan aku yakin kau akan mendapat tempat jika kau bermain di sana dan bila bila masa sahaja kau boleh dapat tempat’.

“Namun inilah yang membuatkan saya rasa lebih kagum dengan Mokhtar yang membalas jawapan saya dengan nada cukup merendah diri: ‘Samad, aku ini hanya pemain biasa-biasa sahaja dan kebetulan aku baru memulakan kehidupan keluarga aku di sini’.

“Lihatlah anak muda mengapa Mokhtar mendapat penghormatan cukup besar dari saya. Bukan mudah untuk menjadi penyerang No. 1 Asia tetapi sikapnya yang sentiasa merendah diri membuatkan kamu lebih kagum kepadanya.

“Kami memiliki persahabatan yang begitu unik. Apa yang lucu beliau selalu mencuba bermain psikologi saya sebelum sepak mula Malaysia menentang Singapura atau bila selangor lawan Singapura. Kami berdua kapten pasukan.

Penampilan terkini Samad Allapitchay.

“Antaranya ‘Eh Samad, kau nampak macam tak sihat lah kau okay ke? Boleh ke kau main malam ini?’ dan itulah kisah lucu di antara kami berdua tetapi pemain hebat seperti Mokhtar sentiasa menjadi ingatan kepada Malaysia dan Singapura serta Asia,” katanya.

Al-fatihah kepada arwah Mokhtar.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: