motorsport Semasa

sUPER KID TEKAD GEMILANG

KIP hanya beraksi tiga perlumbaan pada musim 2019 selepas mengalami kecederaan tangan dan jari. (Foto : FB Petronas SRT)

Selepas mengharungi pelbagai rintangan di saingan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) sejak 2018, Khairul Idham Pawi bertekad untuk kembali mencapai status antara pelumba yang digeruni di Kelas Moto3 tahun ini.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing itu, yang kembali ke saingan Moto3 musim ini selepas tiga tahun di Moto2, yakin mampu mencapai keputusan yang lebih gemilang berbanding musim kemunculan pertamanya dalam kelas itu pada 2016 apabila MotoGP bersambung di Litar Jerez, 19 Julai ini.

Pada saingan Moto2 2019, pelumba berusia 21 tahun itu yang dikenali sebagai Super KIP itu hanya dapat beraksi di tiga perlumbaan dan beliau terpaksa melupakan aksi litar akibat kecederaan tangan dan jari.

Bagi musim ini pula, aksi perlumbaan terpaksa di tangguh akibat pandemik COVID-19 selepas perlumbaan di Qatar pada awal Mac lepas.

“Memang agak sukar bagi saya, tetapi ia bukan halangan untuk saya memperbaiki keputusan dan teknik perlumbaan. Saya rasa tahun (lepas) paling sukar kerana terpaksa berehat lama (kerana kecederaan), tahun ini lebih baik kerana boleh berlumba,” katanya yang bakal berlepas ke Sepanyol Jumaat ini.

“Sasaran saya ialah untuk meningkatkan prestasi saya dan capai sasaran meraih mata. Dengan halangan yang ada ini, saya tetap teruskan kerja keras dan latihan untuk dapatkan hasil saya balik, saya tetap bagi 100 peratus,” katanya.

Khairul Idham mencipta kejutan dalam kemunculan kali pertamanya di Moto3 pada 2016, apabila meraih dua kemenangan di Argentina dan Jerman, namun selepas naik ke saingan Moto2 pada tahun berikutnya, pencapaian terbaiknya ialah tempat kelapan di Misano pada 2017 dan gagal mencapai sebarang penamat 10 terbaik pada 2018.

Bakal turun dengan motivasi tinggi untuk menyambung kalendar musim ini, pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu telah meneruskan latihan sendiri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk meningkatkan kecergasan dan daya ketahanannya.

“Pada awal PKP, saya hanya berkayuh dan membuat latihan kekuatan (mengangkat berat) sehingga dapat kebenaran kerajaan untuk berlatih di luar. Kemudian saya berlatih di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama pelumba program pembangungan SIC,” katanya.

Mengenai peralihannya dari saingan kelas pertengahan ke Moto3, Super Kip berkata beliau dapat mengawal jenteranya dengan baik, termasuk dari segi membrek, cuma memerlukan sedikit masa untuk pengawalan di ‘selekoh laju’ kerana jentera Moto3 lebih ringan.

Bagaimanapun, beliau yakin dapat meningkatkan pengawalan jentera dan prestasinya dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan.

Khairul Idham turut berharap perlumbaan di SIC, yang merupakan pangkalan kepada beliau dan pasukannya, akan berlangsung pada hujung tahun ini, walaupun status perlumbaan di litar terkemuka itu belum diketahui lagi. -BERNAMA-

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: