Bola Sepak

Wan Abdul Rahim, Afandi ‘berehat’ daripada KAFA


Wan Abdul Rahim

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah mengambil keputusan ‘berehat’ daripada menjalankan tugas pentadbiran persatuan itu, berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan drastik itu dipersetujui pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif KAFA yang bersidang di Kota Bharu, hari ini sekali gus menyaksikan Naib Presiden, Datuk Shaari Mat Hussain diberi mandat mengemudi persatuan berkenaan.

Afandi dalam sidang media berkata, Shaari selaku individu nombor tiga tertinggi dalam Kafa akan memangku tugas bagi menerajui badan induk bola sepak Kelantan itu.

“Ahli jawatankuasa eksekutif KAFA mengambil pendekatan untuk terus berusaha mencari jalan bagi menyelesaikan isu hutang lapuk.

“Kata sepakat dicapai untuk teruskan usaha ini, buat perubahan struktur (kepimpinan) KAFA dan bersetuju presiden (Wan Abdul Rahim) dan timbalan presiden (Afandi) untuk berehat buat sementara waktu,” katanya.

Menurutnya, beliau menaruh kepercayaan dan yakin dengan Shaari yang merupakan naib presiden paling kanan dapat membantu meneruskan usaha untuk mengeluarkan KAFA daripada krisis hutang yang membelenggu mereka, ketika ini.

“Ini (isu hutang) adalah tanggungjawab KAFA dan ini adalah amanah yang kami harus pikul sehingga mampu selesaikannya. Beliau akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan ini sehingga satu pengumuman baharu dibuat,” ujarnya.

Afandi

Sementara itu, Shaari memberitahu, beliau bersama barisan exco kepimpinan KAFA akan berusaha sedaya-upaya menggalas tanggungjawab untuk menyelesaikan hutang persatuannya.

Jelasnya lagi, beliau tidak diberi tempoh masa tertentu untuk menyelesaikan masalah KAFA namun berjanji akan membaikpulih kerosakan melanda persatuan itu mengikut kesesuaian masa yang ada.

“Kepimpinan baru masih juga membantu, setakat ini kita dah berjaya selesaikan RM3 juta daripada jumlah keseluruhan hutang RM6.9 juta. Hutang ini akan cuba diselesaikan secara berperingkat-peringkat dan pada masa sama kita akan tengok kewangan pasukan.

“Sebenarnya prestasi pasukan dah menunjukkan peningkatan pada awal musim namun pandemik Covid-19 telah menyebabkan penaja menarik diri daripada menaja pasukan,” ujarnya lagi.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d