Semasa

Ahli gabungan APSF dapat lampu hijau

PEMBATALAN Sukan Para ASEAN 2020 Filipina menyaksikan negara ahli gabungan dibenarkan menganjurkan kejohanan jemputan sebelum berlangsungnya temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2021 dan Sukan Para ASEAN 2021 di Vietnam tahun depan.

Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, 10 negara ahli Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) diberikan kelonggaran menganjurkan kejohanan jemputan sebagai medan pemanas badan atlet masing-masing bagi menghadapi dua temasya berkenaan.

“Kejohanan jemputan ini juga secara tidak langsung membolehkan setiap negara menguji prestasi dan persediaan atlet masing-masing.

“Keputusan pembatalan dibuat sebulat suara 10 negara dan kami setuju sekiranya terdapat negara yang ingin anjur kejohanan pada tahun depan.

“MPM juga dibenarkan untuk membuat jemputan kepada semua negara ASEAN sebagai persiapan sebelum Sukan Paralimpik dan Sukan Para ASEAN,” katanya.

Semalam APSF dalam satu kenyataan secara rasmi membatalkan Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina susulan pandemik Covid-19, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada penganjuran edisi Vietnam 2021.

Pada masa sama Megat Shahriman menjelaskan MPM akan memberi tumpuan kepada persiapan Sukan Para ASEAN 2021 di Vietnam berikutan keputusan APSF berkenaan.

“MPM syukur dan lega dengan pembatalan ini dan kita boleh mula melangkah memikirkan mengenai perancangan tahun depan dan membuat pelan hala tuju baharu.

“MPM juga akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membincangkan persiapan kontinjen negara.

“Pada masa sama perkara lain yang akan dibincangkan adalah mengenai lanjutan kontrak atlet yang dijangka berakhir bulan ini,” katanya.

Sukan Para ASEAN 2020 sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 24 Januari lalu tetapi ditangguhkan ke 20 hingga 28 Mac berikutan masalah dihadapi tuan rumah, sebelum sekali lagi ditangguhkan pada Oktober akibat pandemik Covid-19.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: