KOMENTAR
Oleh MOHD FARIQ
(Penulis sukan bola sepak lebih 20 tahun)
SURAT khabar, adakah ia masih revelan atau sebaliknya dalam sosial masyarakat zaman kini?
Sejak kewujudan media baharu iaitu media online, industri media konvensional dilihat sedang bergelut dalam usaha mengekalkan kelangsungan mereka meneruskan perjuangan sehingga kini.
Justeru, mungkin tidak keterlaluan mengatakan bahawa purata masyarakat khususnya generasi muda kini sudah tidak memiliki keghairahan atau berminat untuk membeli senaskah akhbar pada masa kini.
Ia sesuatu agak menyedihkan kerana jika dibandingkan 20 tahun lalu, ketibaan naskah surat khabar sentiasa dinanti-nantikan masyarakat terutama peminat-peminat sukan tempatan.
Mengimbau kenangan lalu, penulis dapat mengingati bahawa kebanyakan antara kita setia menunggu surat khabar untuk mendapatkan informasi baharu.
Penulis berani jamin bahawa sebahagian besar pembaca akan ‘memusingkan’ surat khabar terlebih dahulu untuk membaca segmen sukan terutama bola sepak yang sentiasa menjadi sukan No.1 di Malaysia.
Masakan tidak, cerita sensasi sukan bola sepak tempatan dan suasana Liga Malaysia yang meriah sering menghiasi dada akhbar dan menjadi ikutan pembaca.
Apatah lagi jika melibatkan perlawanan besar, betapa besar impak akhbar terdahulu jika anda tidak dapat hadir sekali pun tetapi anda akan dapat mengikuti penceritaan artikel bola sepak seolah-olah anda berada menonton di sana.
Justeru tidak hairanlah mengapa ada segelintir daripada mereka termasuk penulis gemar yang sanggup menyimpan dengan memotong keratan akhbar atau artikel sukan tersebut untuk dijadikan bahan kenangan.
Kepuasan itu tidak dapat digambarkan apatah lagi penulis pernah bertugas sebagai wartawan sentiasa berusaha keras untuk mengintai bahan berita demi kepuasan para pembaca.
Namun semua itu sudah tidak berlaku lagi dalam komuniti masyarakat kita sejak berlaku peralihan trend membaca daripada bentuk fizikal kepada media online.
Jangan salah faham penulis juga mengikuti perkembangan semasa melalui media elektronik tetapi tanpa disangkal lagi penulis masih setia terhadap surat khabar.
Penulis berharap surat khabar tidak akan menjadi peninggalan sejarah untuk generasi akan datang.
Ini kerana penulis optimis bahawa surat khabar secara tidak langsung dapat membentuk budaya membaca yang lebih yakin dan jelas sebagai satu sumber sahih kepada masyarakat awam.
Akhir kata, penulis berharap mesej ini dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat di mana kita semua sebenarnya mampu menyelamatkan industri media konvensional.
Dengan bayaran RM1 atau RM2, penulis yakin kos tersebut tidak membebankan orang ramai dalam usaha mengekalkan budaya membaca akhbar yang dianggap secara peribadi oleh penulis masih relevan untuk generasi akan datang.
Apa yang pasti berita sukan terutama berita bola sepak akan sentiasa menjadi tatapan para pembaca sebagai topik utama dan tidak akan lupus di mata masyarakat.
Add Comment