Bola Sepak

Potong ikut kantung persatuan masing-masing


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengingatkan semua persatuan bola sepak negeri dan juga kelab membuat pemotongan gaji berdasarkan situasi semasa kewangan masing-masing.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, walaupun FAM telah mengeluarkan garis panduan dengan kadar maksimun pemotongan gaji adalah sebanyak 30 peratus namun ia tertakluk kepada kedudukan kewangan pasukan.

“Bukan kena ikut seratus peratus garis panduan yang dikeluarkan FAM tetapi ia tidaklah boleh melebihi 30 peratus. Persatuan diingatkan mengikut garis panduan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan FAM untuk pastikan kita selari dengan nasihat serta arahan yang dikeluarkan.

“FAM juga telah menubuhkan unit khas bagi item COVID-19 ini bukan sahaja mengenai gaji tetapi tatacara pengurusan, pelaksanaan garis panduan semasa seisi latihan dan juga aksi perlawanan.

“Dua garis panduan ini diselaraskan dibawah unit FAM dengan bantuan liga-liga lain dirantau Asia. Kami akur apa-apa arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita utamakan kesihatan dan keselamatan semua rakyat dan juga keluarga bola sepak. Industri bolasepak perlu diperjuangkan ke satu tahap untuk memastikan keputusan muktamad boleh diambil dalam masa terdekat,” jelasnya kepada media, sebentar tadi.

Terdahulu FAM telah mengeluarkan telah mengumumkan Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM iaitu berkaitan penetapan kadar pemotongan gaji pemain dan pegawai untuk mana-mana pasukan atau kelab bertanding yang masih gagal mencapai persetujuan bersama selepas tamat tarikh akhir yang ditetapkan pada 22 April 2020.

Kadar maksimum pemotongan gaji yang dibenarkan mengikut garis panduan ini adalah sebanyak 30 peratus yang mana ia dianggap adil dan setara berdasarkan situasi kewangan pasukan atau kelab.

Seperti yang semua maklum, pasukan atau kelab yang bertanding telah menghadapi bebanan kewangan yang cukup besar kesan daripada pandemik COVID-19 ini dan atas dasar itu, FAM mahu membantu kestabilan kewangan mereka sepanjang tempoh penangguhan Liga Malaysia 2020 ini.

Namun pada masa yang sama, FAM juga mahu kebajikan pemain dan pegawai turut dijaga iaitu dengan memastikan supaya pasukan atau kelab tidak mengambil kesempatan atau peluang ini untuk melakukan pemotongan gaji dengan sewenang-wenangnya terhadap para pemain dan pegawai pasukan masing-masing.

Mengambil kira situasi di atas, FAM selaku badan induk bola sepak di negara ini perlu mengambil langkah dan tindakan segera bagi memastikan kestabilan industri bola sepak di Malaysia secara keseluruhannya dapat dilindungi dalam kita berdepan dengan situasi yang tidak dijangka ekoran pandemik COVID-19 ini.

Langkah ini dibuat sebagai menghormati pekeliling dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 7 April 2020 supaya ahli-ahli gabungannnya termasuk FAM mengetuai dan membantu dalam usaha mencari penyelesaian terbaik untuk keluarga bola sepak di negara masing-masing sepanjang kita semua di seluruh dunia menghadapi situasi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19 ini.

Selain itu, FAM juga sentiasa berhubung rapat dengan FIFA dan juga Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mereka yang merupakan sumber rujukan utama bagi bola sepak dunia dan Asia dalam memastikan kami di FAM dapat menjalankan tugas sebaik mungkin ke atas semua ahli gabungan kami di sini.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d