Pelbagai Semasa

Tunggu pengesahan rasmi APSF

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) akan mendapatkan maklumat lanjut dengan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) untuk mengetahui status sebenar berhubung penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 yang dikhabarkan acara tersebut dibatalkan.

Presiden MPM, Dato Sri Megat DShariman Zaharudin berkata, perkhabaran ini pastinya mengecewakan semua pihak di Malaysia terutamanya barisan atlet para negara dan juga persatuan sukan kerana ia adalah antara temasya paling dinanti-nantikan semua pihak.

“MPM sentiasa menghormati keputusan Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) dan Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PHILAPGOC), jika benar ia dibatalkan berikutan isu pandemik Covid-19.

“Soal keselamatan serta kesihatan atlet dan pegawai kontinjen perlu diutamakan kerana nyawa setiap individu lebih bernilai daripada segala-galanya. Selaku penaung badan persatuan sukan Para di Malaysia, maka menjadi tanggungjawab MPM untuk menjaga kebajikan dan melindungi nyawa setiap atlet.

“Kami akan mendapatkan maklumbalas APSF selain cuba menghubungi wakil-wakil negara lain bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi ini,” ujarnya menerusi siaran media yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu MPM mendapat maklumat daripada sebuah portal berita Filipina, Mindanao Times yang bertarikh 1 Mei 2020 bahawa pihak PSC telah membuat keputusan untuk membatalkan semua acara sukan pada tahun ini dan sekaligus menarik balik peruntukkan yang disediakan untuk penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 3 hingga 9 Oktober nanti.

Susulan laporan tersebut, Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PHILAPGOC), Michael Barredo dalam satu kenyataan kepada media Filipina hari ini mengakui pihaknya akur dengan keputusan tersebut dan kemungkinan besar Filipina tidak akan menganjurkan temasya berkenaan kesan daripada penularan pandemik Covid-19.

Perkara itu jelasnya juga akan dipanjangkan kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk membolehkan perbincangan diadakan oleh majlis tertinggi APSF mengenai situasi dan masa depan Sukan Para ASEAN di mana Malaysia juga sebahagian daripada negara ahli APSF.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: