Bola Sepak

Pemain tidak miliki salinan kontrak

HASRAT 51 pemain skuad Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan membawa isu tunggakan gaji dihadapi mereka ke pengetahuan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi menuntut hak mereka berdepan kesukaran apabila kesemua pemain tersebut tidak memiliki salinan kontrak daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Lebih memburukkan lagi, KAFA selaku majikan dikatakan enggan memberikan kerjasama dengan mengelak serta menyuruh pemain berjumpa pegawai demi pegawai.

Ketua Pegawai Eksekutif (PFAM), Izham Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada wakil pemain dan Jabatan Undang-Undang sedang aktif berhubung dengan para pemain.

“Namun terdapat sedikit permasalahan apabila salinan kontrak tidak diberikan majikan (KAFA). Kami dimaklumkan bahawa cubaan untuk mendapatkan salinan kontrak daripada majikan menemui jalan buntu.

“Majikan cuba mengelak dengan menyuruh pemain berjumpa pegawai demi pegawai.

“Melihat kepada situasi ini PFAM akan terus menghantar notis kepada pihak KAFA bagi tujuan “follow up” dan menuntut untuk menerima sebarang penjelasan daripada KAFA berhubung hal ini,” jelasnya ketika dihubungi CakapSukan.com sebentar tadi.

Sebelum ini CakapSukan.com melaporkan rintihan dan keluhan para pemain Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan apabila difahamkan mereka tidak menerima gaji sehingga enam bulan yang menyukarkan kesemua para pemain untuk meneruskan kehidupan harian.

Ahad lalu, tersebar satu hantaran di Facebook Kelantan FC – Pride and Soul mengenai rintihan pemain dan pegawai skuad Piala Belia Kelantan 2019/2020.

Antara yang didedahkan adalah ketiadaan wang bagi membeli keperluan asas berikutan wabak Covid-19 yang sedang melanda Malaysia dan dunia saat ini. Mereka juga memohon masyarakat Kelantan khususnya membantu daripada terus tertipu oleh pengurusan Kafa.

Kelantan sebelum ini termasuk dalam senarai tiga pasukan yang diberi tarikh akhir oleh FAM untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan skuad senior The Red Warriors (TRW).

Malah, FAM sedang dalam fasa kedua proses pemutihan hutang yang mana membabitkan tunggakan bayaran dengan agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta masalah tunggakan gaji skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: