Bola Sepak

KBS komited jayakan F:30

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak berbelah bahagi memberikan sokongan buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneruskan pelan jangka panjang yang direncanakan FAM menerusi peta hala tuju F:30.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, KBS yang kini dibawah pimpinan Menteri yang baharu, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican turut diberikan taklimat mengenai situasi kewangan semasa FAM serta penajaan.

“Hasil kunjungan hormat ini menyaksikan Dato’ Sri Reezal menyambut baik kehadiran FAM sambil membincangkan prospek pasukan kebangsaan, hubungan FAM dengan ahli gabungan dan kaedah terbaik mempromosi bola sepak wanita.

“KBS dilihat komited dalam menyokong pelan jangka panjang yang direncanakan FAM menerusi peta hala tuju F:30 malah kami juga berbincang mengenai situasi kewangan dan penjanaan pendapatan FAM.

“Dalam pada itu, pertemuan ini juga membincangkan mengenai situasi semasa membabitkan penularan wabak COVID-19 terutama dalam merencana jadual akan datang sukan bola sepak tempatan,” jelasnya pada kunjungan hormat secara rasmi ke atas Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya, semalam.

Hamidin yang diiringi oleh dua timbalan beliau, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta Naib Presiden, Dato’ Ab Ghani Hassan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MFL dan juga Naib Presiden FAM, Datuk Haji Rosmadi Ismail serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, turut menjelaskan keputusan FAM dan MFL menunda semua perlawanan liga domestik sehingga tarikh yang ditetapkan susulan wabak COVID-19 sejajar keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung perintah kawalan pergerakan dari 18 hingga 31 Mac.

Dalam kunjungan hormat itu, Datuk Haji Hamidin selaku Presiden FAM mengambil kesempatan memberi taklimat kepada Dato’ Sri Reezal berhubung pelbagai bentuk kerjasama di antara FAM dan KBS.

Antara lain, Datuk Haji Hamidin menyentuh aspek kerjasama dua hala dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), projek Kompleks Latihan Pasukan Kebangsaan di Putrajaya, ibu pejabat baharu FAM di lokasi yang sama, projek naturalisasi, pengadil profesional dan kempen #Respect.

Sementara itu, Dato’ Sri Reezal turut menggesa FAM berusaha mencari penanda aras baharu dengan melakar satu ‘landmark’ kemenangan yang boleh mengangkat bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

“Kejayaan yang bakal dicatat itu mampu mencipta gelombang baharu dalam membangunkan bola sepak di semua peringkat, ” katanya sambil memuji perancangan FAM yang disifatkan sebagai cukup komprehensif.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: