Uncategorized

Lima Menteri Kabinet ‘rezeki terpijak’ buat bola sepak Kelantan


Wan Abd Rahim

PELANTIKAN lima orang Menteri Kabinet dari negeri ini seperti yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam dilihat mampu merancakkan lagi perkembangan industri bolasepak Kelantan yang dimeriahkan dengan kehadiran pasukan Kelantan United FC (KUFC) bergandingan dengan Kelantan TRW2020.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, istimewanya dua anggota Kabinet itu merupakan Pimpinan yang sudah masak dengan sukan berkenaan iaitu YB Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah) dan YB Dato Takiyuddin Hassan (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri – Parlimen dan Undang-Undang).

“YB Tan Sri Annuar Musa merupakan bapa pemodenan bola sepak Kelantan semasa menerajui KAFA sehingga pasukan TRW mencipta sejarah kejayaan gemilang dengan menjuarai tiga Piala (Treble) pada tahun 2012 dalam kancah saingan Liga Malaysia dan juga di pentas Bolasepak Asia.

“Begitu juga dengan YB Dato Takiyuddin Hassan yang pernah bersama KAFA di bawah pimpinan Dato Wan Hashim Wan Daud dan Tan Sri Annuar Musa serta menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Menurutnya, KAFA sememangnya menagih sokongan dari kedua-dua tokoh berkenaan untuk sama-sama mengembalikan semula kegemilangan bolasepak Kelantan.

Katanya, industri bola sepak Kelantan juga tampak lebih meriah apabila Presiden KUFC YB Dato Che Abdullah Mat Nawi turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Wan Abd Rahim memberitahu, pelantikan itu secara tidak langsung membangkitkan lagi semangat menjadikan bola sepak sebagai satu industri yang berjaya di negeri ini.

Katanya, arena bola sepak Kelantan turut bertuah apabila tiga orang lagi tokoh turut dilantik untuk menganggotai Kabinet Malaysia iaitu YB Dato Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar), YB Dato Seri Mustapa Mohamed (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan YB Senator Dr Mohd. Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan).

“Selain itu, YB Dato Seri Ikmal Hisam Abdul Aziz (Timbalan Menteri Pertahanan), YB Ahmad Marzuk Shaari (Timbalan Menteri Di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga), YB Dato Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar) dan YB Dato Kamaruddin Jaafar (Timbalan Menteri Luar).

“Saya mewakili Ahli-Ahli JK Eksekutif dan warga KAFA seluruhnya mengucapkan Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tokoh-tokoh kelahiran negeri ini yang dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, ” ujarnya.

Katanya, beliau berharap semua tokoh-tokoh ini dapat menjadi tonggak dalam memacu sukan nombor satu rakyat Kelantan itu ke arah pencapaian yang lebih cemerlang di masa depan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d