Uncategorized

Salleh Ibrahim sudah tiada


Lagenda bola sepak negara pada Sukan Olimpik Munich 1972, Salleh Ibrahim meninggal dunia pada usia 73 tahun di Kota Bharu, hari ini.

Allahyarham Salleh menghembuskan nafas terakhir jam 12.30 tengah hari dikediamannya akibat penyakit bengkak hati setelah mendapat rawatan selama seminggu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Pengkalan Chepa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Landak, selepas solat Asar petang tadi.

Salah seorang bekas pemain Kelantan era 70’an, Afandi Yusof mengesahkan berita pemergian rakan seangkatannya itu.

“Saya difahamkan arwah pernah dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan, baru-baru ini.

“Mengikut maklumat daripada rakan-rakan, arwah meninggal dunia dirumahnya, tengah hari tadi,” katanya.

Salleh yang merupakan pesara kerajaan dengan kali terakhir bertugas di Penjara Pengkalan Chepa beraksi di posisi sayap kanan dan kiri terkenal dengan gelaran Salleh Te’re.

Dilahirkan pada 19 Oktober 1947 di Ketereh, beliau memulakan kerjaya dengan menyarung jersi Kelantan (1963, 1970-1972), Singapura, Perak (1973-1980) dan Penjara Malaysia.

Pada tahun 1965, beliau meninggalkan Kelantan untuk berkhidmat sebagai Tentera British di Singapura dan kerjayanya terus berkembang apabila dapat bermain bersama pemain tersohor seperti Allahyarham Majid Arif, Mahat Abu dan Rahim Omar.

Malah Salleh yang memakai jersi nombor 11 juga pernah beraksi bersama Kelab Darul Arfiah, sebuah kelab yang berpangkalan di negara jiran itu sepanjang pembabitan dalam karier bola sepak.

Beliau mengumpul 68 caps sepanjang mewakili negara pada 1971 hingga 1972 dan merupakan tiga pemain dari Kelantan selain Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff dan Hamzah Hussin yang diberi penghormatan menyarung jersi Harimau Malaya.

Beliau turut menyumbang satu gol ketika membantu Malaysia menumpaskan Amerika Syarikat 3-0 pada aksi peringkat kumpulan Sukan Olimpik Munich di Jerman, pada 1972.

Skuad negara ketika itu dibimbing Allahyarham Jalil Che Din dan turut diwakili Datuk Soh Chin Aun, Wong Kam Fook, Namat Abdullah dan Allahyarham Ali Bakar.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading