Cooper melihat kehadiran pemain baharu memberikannya banyak pilihan.

KEGAGALAN meraih slot ke Liga Premier musim lalu sudah dilupakan oleh Armed Forces FC (AFFC) sebaliknya tekad menjadikan 2020 sebagai tahun menuai hasil walaupun sekali lagi mereka akan menggunakan kudrat 100 peratus anggota tentera.

AFFC juga akan terus menagih sentuhan ketua jurulatih AFFC, Kevin Cooper, yang merupakan bekas pemain beberapa kelab terkemuka Liga Inggeris seperti Wolverhampton Wanderers dan Cardiff City pada lewat 90-an dan awal 2000, bagi memastikan mereka mampu menjadi pencabar utama kejuaraan Liga M3.

Menurut Cooper, terlalu banyak keputusan seri yang dicatatkan musim lalu iaitu dalam 10 perlawanan menjejaskan peluang AFFC untuk berada dalam kelompok dua terbaik walaupun mereka hanya mencatat tiga kekalahan, angka sama dengan naib juara Liga M3, Kuching FA.

“ Musim lalu, kami banyak meraih keputusan seri biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan sekali gus menjejaskan peluang kami tetapi kali ini, saya rasa pasukan ini ada peluang untuk meningkat lebih baik serta belajar dengan apa yang terjadi.

“Armed Forces akan terus gunakan pendekatan sama iaitu menggunakan semua pemain dari kalangan anggota dan saya akan bekerja keras buktikan yang kami boleh berjaya melalui cara ini.

“Melalui kehadiran beberapa pemain baharu yang direkrut pada awal musim, saya mempunyai lebih banyak pilihan bagi memastikan kami mampu beraksi secara konsisten sehingga penghujung saingan liga, ” katanya yang ditemui pada sesi latihan AFFC di Stadium Mini Mindef.

Dua watak utama, Venice Elphi Danny Kaya dan Rafizol Roslan, akan terus mendokongi cabaran selain dibantu Faiz Ibrahim di bahagian serangan manakala kecemerlangan Hafizuddin Azuhar terus ditagih di gawang AFFC.

AFFC hanya mengambil lima pemain baharu dari skuad anggota Tentera Darat FA dan mereka dijangka menjadi antara pilihan utama untuk beri saingan kepada Liga M3, musim ini.

Venice yakin keserasian dikalangan pemain senjata utama pasukan.

Dalam pada itu, ketua pasukan, Venice Elphi, menjelaskan resipi kekuatan AFFC ialah keserasian sesama pemain kerana mereka sudah kenal mengenali dan bersama dengan pasukan itu sejak sekian lama.

Justeru, tanpa pemain import, itu tidak menjadi masalah besar buat AFFC kerana mereka mampu meledak 62 jaringan dengan Rafizol Roslan secara peribadi muncul penjaring ketiga terbanyak Liga M3 menerusi 22 gol.

“ Pasukan ini telah dibentuk menggunakan anggota sepenuhnya sejak empat ke lima tahun dan soal keserasian tidak menjadi masalah malah saya perhatikan ada peningkatan mendadak sejak tahun lepas.

“Walaupun tanpa import atau pemain tempatan dari pasukan lain, itu tidak menjadi masalah dan musim ini saya rasa pasukan kami akan pamerkan keputusan yang lebih baik banding musim lalu.

“Ramai tidak boleh memandang rendah kualiti Liga M3 walaupun dikatakan liga amatur kerana persaingan tetap dilihat kuat memandangkan banyak pemain yang tidak dapat tempat di Liga Super dan Liga Premier kini bermain di Liga M3.

“ Saya sendiri tidak sabar memulakan aksi pada musim ini apabila mengetahui ada pasukan baharu turut mengambil bahagian dengan mengambil pemain ternama, bagi saya persaingan seperti ini adalah sihat dan akan memberikan kualiti kepada Liga M3, ” kata pemain yang berusia 36 tahun berkenaan.

AFFC yang memulakan kempen 2020 dengan baik apabila mara ke pusingan kedua Shopee Piala FA bakal membuka saingan Liga M3 bertemu Ikram Muda FC di UM Arena, Ahad ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: